Sejak ‘dark mode’ atau mod gelap diperkenalkan beberapa tahun lalu, pengguna sering diberitahu bahawa mod gelap ini mempunyai kelebihan di mana penggunaannya akan menjimatkan bateri. Umumnya, skrin yang mendapat manfaat mod gelap hanyalah OLED (seperti AMOLED) manakala skrin jenis LCD langsung tidak terkesan.
Mengikut teori, skrin OLED dapat menjimatkan bateri kerana dalam situasi di mana sebahagian skrin perlu memberi kecerahan yang tinggi namun sebahagian lain dalam warna gelap, piksel yang berada di bahagian gelap tadi hanya perlu menyala dengan kecerahan yang lebih sedikit atau langsung padam berbanding piksel di bahagian cerah.
Perkara ini tidak dapat dilaksanakan di skrin LCD kerana keseluruhan lapisan ‘backlight’ akan tetap menyala pada kecerahan sama tanpa mengira keperluan paparan.
Tahun lalu, penyelidik daripada Purdue University iaitu Charlie Hue, Michael dan Katherine Brick mendakwa mereka mempunyai alat yang lebih tepat untuk menyukat tenaga yang digunakan setiap piksel berbanding digunakan industri sebelum ini.
{suggest}
Kajian ini menggunakan 6 aplikasi paling banyak dimuat turun di Play Store iaitu Google Maps, Google News, Google Phone, Google Calendar, YouTube dan Calculator. Untuk peranti pula, mereka menggunakan Pixel 2, Moto Z3, Pixel 4 dan Pixel 5.
Mereka mengukur sejauh manakah mod gelap memakan bateri dalam 60 saat aplikasi dibuka pada peranti terpilih.
Pada kecerahan 30%-50%, mereka dapati mod gelap menjimatkan tenaga sekitar 3%-9% berbanding mod cerah. Dengan perubahan ini, kebanyakan pengguna tidak akan berasa perbezaan yang ketara dalam konteks ketahanan bateri.
Menariknya, lebih tinggi kecerahan ditetapkan, lebih banyak penjimatan dikesan pada mod gelap. Ini dibuktikan melalui penggunaan kecerahan maksimum, 100% dalam mod gelap yang dikesan menjimatkan sekitar 39%-47% berbanding mod cerah.
Menguji pada Google News, mod cerah dengan kecerahan 20% pada Pixel 5 menunjukkan penggunaan kuasa yang sama jika ditetapkan mod gelap dengan kecerahan 50%.
Kecerahan 50% di mod gelap = Kecerahan 20% di mod cerah
Bercakap daripada pengalaman peribadi, jika saya berada di kawasan yang terlalu cerah contohnya di bawah panas terik, mod gelap selalunya memerlukan kecerahan lebih tinggi terkadang sehingga 100%. Tetapi jika saya menukarnya ke mod cerah, kecerahan tersebut dapat diturunkan sehingga ke 70%, kerana kandungan sudah cukup jelas.
Berdasarkan kajian ini, penjimatan hanya berlaku jika saya kekal dengan tahap kecerahan sama. Namun jika saya mengurangkan kecerahan pada mod cerah, penggunaan bateri boleh dikatakan hampir sama dengan mod gelap yang ditetapkan kecerahan tinggi.
Hue menjelaskan bahawa kecerahan memainkan pengaruh besar dalam menentukan sejauh mana mod gelap menjimatkan bateri.
Kesimpulannya, mod gelap hanya memberi faedah pada bateri jika anda menggunakan tahap kecerahan yang tinggi. Jika anda mengaktifkan mod kecerahan automatik yang biasanya menetapkan sekitar 30%-40% (indoor), penjimatan kuasa yang berlaku agak sedikit dan mungkin tidak dirasakan dalam penggunaan harian.
Dalam pada itu, sebuah aplikasi dinamakan Android Battery+ dibangunkan oleh kumpulan penyelidik ini akan tersedia di Play Store namun dijangka ditawarkan pada tahun akan datang.
Sumber: Purdue University