Ada beberapa situasi yang membuatkan anda mahu menuntut semula wang (refund) dalam kad TNG. Selain dicaj berlebihan di plaza tol, lazimnya refund dimohon apabila kad TNG/MyKad sudah luput atau hilang.
Baca di SINI untuk ketahui cara semak baki kredit kad TNG anda.
Menurut TNG, ciri TNG pada MyKad hanya bertahan selama 10 tahun. Jadi, selepas 10 tahun, anda perlu membuat gantian IC baru di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan bayaran RM10.
Macam mana nak ‘refund’?
Pertama sekali, anda perlu tahu nombor siri kad tersebut. Ia ada pada resit setiap kali anda tambah nilai. Jika kad TNG NFC, ia lebih mudah kerana nombor sirinya sudah tercatat pada kad.
Jadi, tambah nilai dulu jika anda tidak simpan resit sebelum ini.
Kemudian, daftarkan kad anda di laman TNG di pautan ini – https://tngportal.touchngo.com.my/#registration
Anda tidak boleh mohon tuntutan semula kredit dalam kad jika tidak mempunyai akaun di portal Touch ‘n Go dan memautkannya.
Isikan semua maklumat anda seperti diminta.
Untuk “Card/Device Serial No“, gunakan nombor “Mfg No” pada resit tambah nilai tadi. Contoh resit seperti gambar di bawah. Ia mempunyai 10 angka.
Selesai mencipta akaun, maka log masuk pula. Di sini, anda boleh lihat senarai kad yang telah anda daftarkan bawah nama anda dan boleh lagi kad-kad yang lain.
Sekarang, anda boleh mula melakukan tuntutan wang (e-Refund) melalui pautan ini – https://customerservice.touchngo.com.my/eRefund/Step1.aspx.
Isikan maklumat diminta. Pada ruangan nombor telefon, jangan guna “+6+” walaupun diberikan contoh sedemikian. Masukkan saja nombor telefon tanpa kod negara contohnya “0121234567”.
Teruskan dengan tekan ‘Next’. Untuk ‘Refund Request‘, pilih ‘Card Termination‘ kerana kita sedang memohon refund bagi kad TNG/MyKad yang hilang atau sudah luput.
Untuk ‘Reason Code‘ pula, pilih ‘Lost‘ jika kad anda hilang/dicuri. Pilih ‘Expired Card‘ kad TNG anda luput atau
Untuk ‘Card with Deposit’, pilih ‘No’ jika anda tidak pernah membayar deposit dengan kad tersebut.
Bagi ‘Refund Payment Method‘, anda boleh pilih antara wang tersebut masuk terus ke akaun bank atau akaun TNG eWallet.
Saya sendiri memilih TNG eWallet kerana biasanya hal refund melibatkan bank akan mengambil masa lama. TNG sendiri pastinya akan mengutamakan produknya sendiri, jadi saya percaya memilih TNG eWallet dapat memulangkan baki kad saya dengan lebih pantas.
Untuk mengetahui nombor akaun TNG eWallet anda, masuk ke aplikasi tersebut, Tekan ‘Edit Info‘, jawap soalan keselamatan. Anda akan dapatinya pada ‘Wallet Account No.‘ dengan 16 angka.
Selesai tekan ‘Submit’, anda akan dipaparkan semula dengan semua info dimasukkkan. Jika anda guna TNG eWallet untuk terima wang refund, jangan khuatir apabila ia memaparkan ‘Bank Name’ TNG e-Wallet’.
Teruskan proses seperti biasa seperti memasukkan CAPTCHA. Tekan ‘Submit’. Jika selesai, ia akan membawa ke halaman utama tanpa sebarang pemberitahuan bahawa permohonan anda sedang diproses.
Anda akan terima e-mel mengesahkan permohonan refund ini. Anda akan terima wang semula dalam masa 30 hari, menurut Touch ‘n Go.
Daripada pengalaman sendiri, saya menerimanya dalam masa 3 minggu. Namun, ada juga yang mendakwa mereka tidak mendapat semula wang tersebut walaupun sudah berbulan-bulan.
Jika anda masih tidak menerimanya selepas 30 hari, hubungi semula pihak Touch ‘n Go. Salah satu caranya melalui fungsi chat di laman web Touch ‘n Go.
Selain itu, anda juga boleh ke kedai mereka di NU Sentral dan Bangsar South.
Anda boleh menyemak status permohonan ini melalui pautan INI dengan memasukkan ‘case reference no.’ yang diberikan melalui e-mel. Namun, setakat cubaan saya, ia tidak benar-benar dikemas kini.
Baca artikel INI untuk tahu jawapan Touch ‘n Go dan PETRONAS berkaitan isu sesetengah stesen minyak yang menjual kad TNG NFC melebih RM10.