Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri IR DR. Wee Ka Siong hari ini mengumumkan bahawa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan pemberian insentif Pengecualian Bayaran Fi Lesen kenderaan Motor (LKM) sepenuhnya melibatkan kenderaan motor elektrik (EV) dan kenderaan motor orang kelainan upaya (OKU).
MOT menyatakan, pemberian insentif itu melibatkan kenderaan motokar yang dipacu oleh sumber elektrik sepenuhnya sahaja. Sama ada kenderaan itu dikuasakan dengan bateri atau Fuel Cell sahaja.
Ia tidak pula melibatkan kenderaan motor jenis hibrid. Pengecualian fi LKM itu adalah dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2025.
Pemilik kenderaan EV boleh membuat permohonan pengecualian ini bermula dari 15 Februari 2022.
Bagi kenderaan motor milik orang kelainan upaya (OKU) pula, pengecualian fi tersebut hanya terpakai pada kenderaan motor yang telah diubah suai khas atau tidak diubah suai untuk kegunaan OKU sahaja.
Malah pengecualian itu juag dipanjangkan kepada kenderaan motor yang didaftarkan /dimiliki oleh ibu/bapa/penjaga yang berdaftar dan mempunyai anak OKU serta pasangan suami/isteri yang pasangannya adalah OKU.
Kenderaan yang layak untuk insentif ini pula hanyalah terhad kepada kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan kereta Nasional sahaja.
Kenderaan itu pula mestilah didaftarkan dan dilesenkan di atas nama individu OKU tersebut yang mempunyai kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Permohonan untuk pengecualian ini akan dibuka bermula 15 Mac 2022 nanti.
Untuk info lebih lanjut tentang perkara ini, orang ramai boleh hubungi khidmat pelanggan JPJ di talian +60 3 8000 8000.
Sumber: JPJ
Baca juga: