Japan Salahkan Telefon Pintar Sebagai Punca Kemerosotan Penglihatan Pelajar Mereka

Tahap penglihatan pelajar Jepun mengalami kemerosotan dan kerajaan mereka merasakan telefon pintar sebagai punca utama kepada permasalahan itu. Satu kajian yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi menemui yang peratusan jumlah pelajar yang mempunyai penglihatan di bawah markah 1.0 adalah 25.3%, nilai tertinggi dalam sejarah negara tersebut.

Lebih membimbangkan, 67% dari pelajar sekolang menengah dan 34% dari pelajar sekolah rendah tidak mencapai piawaian yang diletakkan mereka. Kerajaan menyalahkan tren menghabiskan masa melihat skrin telefon pintar dan bermain permainan telefon pintar sebagai puncanya.



Permainan telefon pintar misalnya, merupakan satu industri yang besar di Jepun. Negara itu menduduki tangga ke-3 dunia dalam pasaran permainan video mengikut kajian Newzoo. Pakar menjelaskan pendedahan mata ke skrin tidak dibuktikan dapat merosakkan penglihatan seseorang namun mereka memberi amaran yang pendedahan lama mata terhadap blue light yang dihasilkan oleh skrin telefon pintar boleh menyebabkan mata menjadi 'letih'.

Sementara itu China telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi golongan muda negara itu dengan mengawal selia penerbitan permainan-permainan baharu dan sedia ada serta mengurangkan waktu bermain kepada rakyat mereka.