IQOO Bakal Lancarkan Peranti Pertama, Hadir Dengan Spesifikasi Menarik

Sub-jenama vivo, IQOO sebelum ini dikatakan akan melancarkan sebuah telefon boleh lipat sebagai pertama mereka tidak lama lagi.

Bagaimanapun, dakwaan itu dijangka tidak akan menjadi kenyataan memandangkan peranti pertamanya telah pun dipertontonkan dalam satu video di laman Weibo mereka baru-baru ini.

Kapsyen: Weibo/IQOO


Melihat kepada video yang dipertontonkan, telefon IQOO ini bakal didatangkan dengan binaan kaca serta tetapan tiga kamera utama.

Peranti ini didakwa mempunyai spesifikasi berkuasa tinggi sekaligus menjadikannya sebagai peranti kelas perdana.

Antara yang paling memberangsangkan pastinya penggunaan sistem cip Snapdragon 855 yang disokong dengan memori sebesar 12GB RAM.

Kapsyen: Weibo/IQOO


Ia pastinya sudah cukup kuat untuk digunakan untuk bermain apa jua permainan video yang ditawarkan pada hari ini.

Selain itu, peranti ini juga akan mempunyai simpanan dalaman sehingga 256GB, bateri 4000mAh serta sokongan NFC.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apa yang diwakili oleh angka 4D dan 44 yang turut berada dalam poster. Menurut rujukan kami di Internet, ia mungkin mewakili fungsi 4D Shock dan pengecasan pantas 44W.

Kapsyen: Weibo/IQOO


Keluaran pertama IQOO ini turut dikatakan akan menggunakan sistem pengimbasan cap jari dari dalam skrin yang lebih baik.

Ia dilaporkan bakal memiliki tanda harga sekitar RMB5000 atau RM3015. Tidak dapat dipastikan samada ia akan ditawarkan di pasaran Malaysia ataupun tidak setakat ini.

Walaubagaimanapun, berita ini bukanlah bermaksud IQOO tidak akan melancarkan langsung peranti boleh lipat mereka.

Mungkin ia akan menjadi keluaran kedua IQOO dalam beberapa bulan yang mendatang.

 

Sumber: Gadgets360    Weibo IQOO