iPhone 2018 Mula Dijual, Sambutan Tidak Sehebat iPhone X

Australia dan Singapura menjadi antara negara pertama yang mula menjual peranti berjenama premium, Apple iPhone XS dan XS Max apabila dua model berkenaan telah mula dijual semalam. Akan tetapi, menurut laporan CNET, sambutan yang diterima agak kurang berbanding semasa iPhone X dilancarkan tahun lalu.



Bagaimanapun, peminat iPhone masih lagi beratur panjang di luar Apple Sydney Store, di George Street untuk menjadi antara yang terawal memiliki dua model terbaru tersebut. Pada 30 minit sebelum pintu kedai dibuka, seramai 65 orang sudah berada di ruang beratur di hadapan kedai.



Seorang juruterbang dari India, Namrata Singh, 37, berkata beliau amat terkejut apabila melihat orang ramai sanggup beratur daripada awal pagi semata-mata untuk mendapatkan sebuah telefon pintar. Beliau mendakwa perkara ini tidak pernah berlaku di negara asalnya.



Ianya ternyata berbeza dengan apa yang berlaku di Singapura apabila lebih 100 orang pembeli telah berada di hadapan kedai sejak petang Khamis, sehari sebelum hari pelancaran lagi. Apple Store di Orchard Road adalah satu-satunya Apple Store rasmi bagi Asia Tenggara.

Malaysia pula dijangka hanya akan mula menerima kemasukkan model baru iPhone ini seawal-awalnya pada bulan hadapan. Mampukah jualan iPhone di negara ini mencipta keterujaan yang sama seperti dua negara ini? Sama-sama kita nantikan.

 

Kredit gambar : CNET

Sumber