iPhone 12 Mungkin Tiada Pengecas Tetapi Ada Kabel Lebih Tahan Lasak

Hujung bulan lepas kita dikejutkan dengan khabar angin iPhone 12 berkemungkinan tidak didatangkan dengan pengecas di dalam kotak. Ada yang tidak kisah dengan perkhabaran itu manakala selebihnya  memberikan komentar kurang senang.

Kini, satu lagi ura-ura timbul yang dirasakan boleh memberikan sedikit senyuman kepada peminat iPhone iaitu kehadiran kabel lebih tahan lasak. Pengeluar mungkin menyertakan kabel dari jenis braided untuk barisan telefon pintar generasi terbaharu, iPhone 12.



Menurut ChargerLAB, kabel USB-C-ke-Lightning tersebut mempunyai pengiktirafan 'Made for iPhone" dengan ukuran panjang 1.05 meter dan setebal 3.04mm. Selain tampil dengan rekaan braided, ia juga dikatakan dibina dari bahan yang lebih baik untuk penggunaan jangka masa panjang.

Ramai yang sudah maklum, kabel lightning sedia ada banyak menerima keluhan dari pengguna lantaran ia mudah rosak.

Sekiranya perkara ini benar, ini merupakan yang pertama untuk iPhone hadir dengan kabel pengecasan braided yang mana sebelum ini hanya dibekalkan pada pengguna Mac Pro.

Meneliti kepada khabar-khabar sebelum ini, kabel ini mungkin satu-satunya aksesori yang akan hadir pada iPhone 12 kelak kerana kita sedia mendengar kebarangkalian pengecas 20W dan earpods perlu dibeli secara berasingan.

Sumber: Weibo via MacRumors