iOS 15.1 bakal dilepaskan pada awal pagi ini sekitar jam 1 pagi 26 Oktober 2021 waktu tempatan. Kemas kini tersebut merupakanĀ major update dan hadir dengan saiz muat turun yang agak besar. Oleh yang demikian, anda dinasihatkan untuk mempunyai sambungan internet yang baik ketika mahu mengemaskini.
Melalui iOS 15.1, tidak banyak perkara baharu yang ditambah tetapi ia masih lagi boleh dilihat.
SharePlay
Fungsi ini pertama kali diperkenalkan adalah ketika iOS 15 diumumkan pada Jun yang lalu. Walaupun sepatutnya ia akan ditawarkan semasa iOS 15 dilepaskan kepada umum tetapi atas sebab tertentu ia masih belum bersedia lagi.
Tidak mengapa, itu sebab adanya iOS 15.1. SharePlay merupakan satu ciri khusus untuk pengguna FaceTime yang mana anda boleh mengaktifkannya menerusi tetapan FaceTime.
Apabila sudah aktif, anda boleh membuat panggilan FaceTime bersama rakan-rakan dan boleh mula berkongsi muzik, video serta beberapa aplikasi lain yang menyokongnya nanti. Selain itu, SharePlay turut menyokong untuk Apple TV.
Tambahan lagi, ia juga hadir denganĀ smart volumeĀ di mana fungsinya akan merendahkan bunyi audio kandungan yang sedang dikongsikan jika rakan anda sedang bercakap.
Antara perkhidmatan yang disokong SharePlay buat masa sekarang adalah seperti Disney+, HBO Max, Hulu, TikTok, Twitch, Paramount+, Masterclass, ESNP+ dan Pluto TV serta Fitness+ yang akan ditawarkan buat pengguna tempatan tidak lama lagi.
Jadi selepas ini, anda boleh menikmati hiburan bersama-sama rakan atau keluarga walaupun berjauhan.
ProRes
Jika iPhone 12 Pro dan iPhone 12 Pro Max ada ciri Apple ProRaw, iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max pula hadir dengan Apple ProRes.
Oleh itu, sekiranya anda menggunakan iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max, anda boleh pergi ke tetapan (settings) > camera > formats dan dapat dilihat pilihan Apple ProRes.
Selain itu, bagi pengguna siri iPhone 13 Pro 128GB, anda hanya boleh menggunakan format ProRes pada kualiti 1080p 60fps sahaja. Sementara storan lebih daripada 256GB, terdapat pilihan kualiti 4K 30fps atau 1080p 60fps.
Sekali lagi diingatkan, format ProRes ini akan mengambil ruang storan dalaman yang sangat banyak. Jadi, anda perlu berfikir dahulu sebelum membuat rakaman video.
Macro
Selain ProRes, Apple turut menawarkan mod makro buat telefon iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max. Sebelum ini, mod tersebut akan bertukar secara automatik sekiranya pengguna mendekatkan subjek pada kamera.
Ada yang suka dan ada juga tidak. Oleh itu, pada tetapan kamera tadi, terdapat juga pilihan Auto Macro. Dengan ini, sekiranya ciri tersebut ditutup, tiada lagi kamera bertukar secara automatik untuk gambar makro.
Oleh yang demikian, itu sahaja fungsi terbesar baharu yang ditawarkan dalam iOS 15.1. Namun, terdapat perkara kecil lain seperti penambahan bahasa “mandarin – China mainland” pada aplikasi translate dan kad vaksin maya yang tidak disokong buat pengguna tempatan.
macOS Monterey, watchOS 8.1
Bersama-sama iOS 15.1 yang akan tersedia esok, kemas kini macOS Monterey dan watchOS 8.1 juga akan ditawarkan buat pengguna. macOS Monterey bakal memberikan beberapa fungsi baharu buat pengguna Mac. Manakala watchOS 8.1 tidak ada sebarang penambahan ciri baharu. Sebaliknya, hanya kemas kini menampal pepijat dan keselamatan.
Baca juga: