Instagram Dilapor Bakal Benarkan Kiriman Video Dengan Durasi Sehingga Satu Jam

Anak syarikat Facebook, Instagram kini dikatakan sedang dalam perancangan untuk mempertingkatkan had durasi bagi video yang dikirim di laman sosial mereka, menurut laporan Wall Street Journal. Fungsi baru ini dilaporkan akan membolehkan pengguna Instagram untuk mengirim video berdurasi sehingga satu jam selepas ini.

Pada hari ini, terdapat lebih dari 800 juta pengguna Instagram di seluruh dunia dan pengguna aktif fungsi Stories pula sudah mencapai lebih 300 juta pengguna. Buat masa sekarang, Instagram cuma membenarkan kiriman video selama 15 saat di Stories dan 1 minit di laman suapan utama.



Namun, pada laporan berkenaan, tidak dinyatakan sama ada fungsi terbaru ini akan menyokong salah satu di antara Instagram Stories dan suapan utama atau kedua-duanya sekali. Sekiranya fungsi ini diperkenalkan, ia akan merapatkan jurang antara Instagram dan Facebook serta Youtube dalam fungsi kiriman video.

Facebook sejak kebelakangan ini semakin giat dalam membangunkan serta mempertingkatkan fungsi yang ada pada Instagram. Dan dengan populariti Instagram yang meningkat pantas berbanding Facebook sendiri, kita boleh menjangkakan lebih banyak kemaskini menarik pada platform perkongsian foto terkemuka ini.

Sumber