Kini terdapat pelbagai model komputer riba yang boleh dipilih di pasaran. Malah terdapat pula kategori bagi komputer riba khusus untuk tugasan tertentu seperti komputer riba untuk perniagaan, pejabat dan tentunya gaming.
Tetapi tahukah anda bahawa komputer riba pertama di dunia hanya muncul pada tahun 1982 dahulu?
Komputer riba pertama di dunia telah diperkenalkan oleh Epson pada tahun 1981 dan dan mula berada di pasaran dalam bulan Julai 1982 menerusi model pertamanya, HX-20.

HX-20 juga dipanggil HC-20 di Jepun, dibangunkan dan dipasarkan oleh Seiko Epson Corporation pada Julai 1982.
Laptop ini menggabungkan kepakaran Epson dalam bidang semikonduktor, paparan LCD, dan pencetak mikro, menjadikannya sebuah komputer serba lengkap dalam bentuk kompak.
Dengan berat hanya 1.6 kg dan saiz sebesar kertas A4, HX-20 menggunakan bateri nikel kadmium yang mampu bertahan hingga 50 jam, menjadikan ia sangat praktikal digunakan di luar pejabat tanpa bekalan kuasa.
HX-20 menjalankan Microsoft Extended BASIC sebagai bahasa pengaturcaraan dan dilengkapi pelbagai fungsi termasuk paparan LCD, pencetak terbina dalam, serta pilihan storan luaran melalui pita kaset.
Komputer riba ini juga dilengkapi dengan jam, tarikh dan masa, antara muka kaset audio, pembesar suara terbina dalam, port RS-232C, antara muka serial berkelajuan tinggi dan port pembaca kod bar untuk pelbagai aplikasi khas.
Malah, dengan bantuan peranti luar CX-20 acoustic coupler, pengguna boleh menghantar dan menerima data dari komputer secara jauh yang menjadi ciri yang sangat futuristik ketika itu.

Sistem ini dilengkapi dengan 16K RAM, yang boleh diperluas sehingga 32K, dan 32K ROM. HX-20 menggunakan dua cip pemproses 6301 dari Hitachi di mana satu cip untuk menguruskan semua tugas I/O dan penyelenggaraan.
Manakala satu lagi untuk pemprosesan bahasa.
Komputer riba ini telah mencipta sensasi di seluruh dunia dan menjadi produk terlaris selepas ia dilancarkan yang menandakan permulaan kepada era komputer mudah alih.
Sebanyak 250,000 unit berjaya terjual yang bukan sahaja dalam pasaran pengguna umum seperti yang dirancang Epson, tetapi juga turut popular dalam sektor industri.
Di kilang, HX-20 digunakan untuk mengawal operasi barisan pengeluaran, menjadikannya peranti kerja yang praktikal dan dipercayai.

Ketika ia dipamerkan di acara Data Show dan Microcomputer Show di Tokyo pada tahun 1981, HX-20 telah berjaya mencuri perhatian ramai dan menjadi simbol inovasi baru dalam dunia komputasi.
Majalah BusinessWeek malah menamakannya sebagai “revolusi ke empat dalam komputer peribadi”.
Pengiktirafan turut datang daripada dalam negara apabila HC-20 (versi Jepun) memenangi Anugerah Kecemerlangan Nikkei, salah satu anugerah tertinggi untuk produk dan perkhidmatan di Jepun.
Kejayaan ini bukan sahaja mencipta sejarah sebagai komputer genggam pertama dunia, tetapi juga membuka jalan kepada generasi komputer mudah alih yang semakin berkuasa dari tahun ke tahun.
Gabungan kebolehgunaan, mobiliti, dan sambungan data telah menjadikan HX-20 sebagai pelopor kepada komputer riba moden yang kita guna hari ini.
{suggest}