Ini Yang Perlu Anda Tahu Tentang Kapal Selam Titan

Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) telah mengesahkan bahawa kapal selam pelancong, Titan, yang membawa 5 penumpang ke lokasi bangkai kapal Titanic di dasar Lautan Atlantik telah musnah.

Sekaligus menyebabkan kesemua penumpangnya maut dalam malapetaka itu.

Ia selepas serpihan kapal selam berkenaan ditemui pasukan cari dan menyelamat berhampiran Titanic pada kedalaman kira-kira 488 meter.

Penumpang yang maut adalah terdiri daripada pengemudi kapal selam tersebut yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, OceanGate, Stockton Rush, jutawan British dan pengerusi syarikat penerbangan Action Aviation, Hamish Harding, 58, ahli perniagaan warga Britain kelahiran Pakistan, Shahzada Dawood, 48 dan anak lelakinya, Suleman, 19 serta pakar Titanic terkenal, Paul-Henri Nargeolet, 77.

Kini tular video yang menggambarkan apa yang berlaku terhadap kapal selam malang itu.

https://www.youtube.com/watch?v=AykEsPGDABE

Titan dikendalikan oleh syarikat OceanGate Expeditions yang berpangkalan di A.S.

Pelancong yang ingin melawat bangkai Titanic di dasar laut Lautan Atlantik Utara dengan menaiki kapal selam Titan perlu membayar sebanyak RM1.2 juta seorang.

Titan direka dengan kemampuan untuk membawa sehingga 5 orang penumpang termasuk pemandu dengan berat keseluruhan 685kg pada kedalaman 4,000 meter (13,120 kaki).

Bangkai kapal persiaran Titanic terletak di dasar laut kira-kira 3,800 meter (12,500 kaki) di bawah permukaan.

Berdasarkan penjelasan dari video YouTube oleh StudyIQ IAS, tekanan air laut pada kedalaman 12,000 kaki adalah bersamaan dengan sekitar 109 buah pesawat Boeing 747 ditindih bertingkat atas satu sama lain.

Titan yang seberat 9,525 kg boleh bergerak pada kelajuan 3 knot (5.556km/h) dengan menggunakan pendorong elektrik.

OceanGate berkata ia dilengkapi dengan lampu LED berkuasa, sistem navigasi sonar dan peralatan kamera 4K.

OceanGate juga menyatakan Titan mempunyai sistem sokongan hidup yang boleh memastikan 5 orang hidup sehingga 96 jam.

Dinding kapal selam itu diperbuat daripada gentian karbon setebal 5 inci (13 cm) dengan kubah titanium menutup setiap hujung kapal itu.

Pembuatan Kapal selam Titan oleh OceanGate ini mendapat bantuan kerjasama jurutera NASA yang mempunyai kepakaran dalam reka bentuk dan penempatan gentian automatik yang menyusun badan komposit dalam projek tersebut.

Badan bertekanan tinggi pada Titan dibuat menggunakan gentian karbon gred aeroangkasa.

Kapsyen: Keadaan ruang dalam kapal selam Titan. Kredit: Tangkap layar YouTube.


Menurut David Pogue, seorang wartawan CBS News yang pernah menjadi penumpang Titan tahun lepas berkata, dia terpaksa menandatangani liabiliti yang menggambarkan kapal itu sebagai "percubaan" dan mengakui risiko kecederaan atau kematian.

Sebaik sahaja penumpang masuk ke dalam, palka ditutup. Penumpang biasanya duduk di atas lantai, menyandarkan punggung mereka pada dinding melengkung. Terdapat tandas asas di dalam kapal selam itu.

Ia dilancarkan dari platform kecil yang boleh dibawa ke laut di atas kapal komersial dan tenggelam beberapa dozen meter di bawah permukaan.

Kapsyen: Titan dilancarkan dari platformnya. Kredit: Tangkap layar YouTube


Kemudian kapal selam itu dikendali menggunakan alat kawalan dari permainan video seperti dilapor media.

Pekerja OceanGate di atas kapal permukaan menjejaki lokasi Titan dan menghantar mesej teks kepada juruterbang dengan arahan navigasi.

Kapsyen: Kredit: Tangkap layar YouTube.


{suggest}

Sumber: Reuters 1, Reuters 2, OceanGate, OceanGate 2