Ini Sebab Kenapa Interaksi MySJ Trace Pada Android Lebih Banyak Berbanding iOS

Beberapa minggu lalu, ciri baru MySJ Trace telah diperkenalkan pada semua platform termasuk HarmonyOS. Ciri ini membenarkan peranti pengguna berinteraksi dengan peranti lain di sekeliling mereka melalui Bluetooth.

Untuk apa peranti ini berhubung satu sama lain? Ini adalah untuk membantu pengesanan kontak yang lebih cekap dan mengenalpasti individu yang pernah ada kontak rapat dengan pesakit yang telah disahkan positif COVID-19.

Tapi, bagi yang menggunakan MySejahtera di peranti Android dan iPhone serentak, anda mungkin sedar perbezaan pada angka interaksi MySJ Trace. Telefon Android dikatakan memaparkan interaksi yang lebih banyak berbanding iPhone.

Dalam dokumen soalan lazim yang disediakan pihak MySejahtera, perkara ini telah dijawab secara tidak langsung.



Pada soalan ke-12 berkenaan peranti yang menyokong MySJ Trace, pihak MySejahtera mengatakan bahawa;

"Untuk peranti Android, MySJ Trace akan terus berfungsi samada dalam paparan aktif atau tidak aktif, sekiranya telefon telah disetkan ke mod senyap (non-sleep). Untuk peranti iOS, MySJ Trace perlu sentiasa berada pada paparan aktif dan peranti hendaklah dihidupkan sepanjang penggunaan aplikasi."

Ini bermakna, pada peranti Android, MySJ Trace akan terus berhubung dengan peranti lain di latar (background) walaupun pengguna telah membuka aplikasi lain selepas MySejahtera.

Untuk peranti iOS seperti iPhone pula, MySJ Trace hanya berhubung dengan peranti sekeliling sewaktu MySejahtera tersebut dibuka. Apabila anda membuka aplikasi lain selepasnya, maka MySJ Trace ini akan berhenti berfungsi.

Namun, ada juga yang berpendapat ia mungkin disebabkan Bluetooth pada kedua-dua platform (Android & iOS) ini yang tidak dapat berhubung antara satu sama lain.

Disebabkan inilah interaksi pada peranti Android lebih tinggi berbanding iPhone. Anda boleh membaca FAQ atau soalan lazim MySJ Trace yang lain di SINI atau di laman web MySejahtera.

Sumber: MySejahtera

Baca juga: