Fungsi MySJ Trace kini telah pun diaktifkan pada aplikasi MySejahtera. Secara ringkasnya, aplikasi ini membolehkan pengguna MySejahtera mengesan jika ada pengguna MySejahtera berdekatan dijangkiti Covid-19.
Jika anda mahu mengetahui lebih lanjut apa itu MySejahtera, bagaimana ia berfungsi atau soalan-soalan lain lebih spesifik, MySejahtera turut berkongsi 18 soalan lazim (FAQ) ciri terbaharu itu.
1. Apakah itu MySJ Trace?
MySJ Trace merupakan salah satu fungsi mudah alih pengesanan kontak (contact tracing) yang dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia. Ia menggunakan pendekatan “dorongan masyarakat” (community driven) di mana telefon bimbit pengguna akan saling bertukar maklumat apabila berada dalam jarak tertentu.
Pertukaran maklumat ini adalah satu interaksi di antara pengguna MySJ Trace yang membolehkan identifikasi pengguna MySJ Trace yang pernah berada berdekatan dengan seorang lagi individu MySJ Trace yang telah positif COVID-19.
2. Apakah perbezaan antara aplikasi MySJ Trace dan MySejahtera?
MySJ Trace merupakan salah satu fungsi dalam aplikasi MySejahtera untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha mengawal penularan wabak COVID-19. Secara amnya, MySejahtera membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri dan membantu KKM mendapatkan maklumat awal untuk tindakan cepat dan berkesan.
Manakala, MySJ Trace menjadi pelengkap kepada aplikasi MySejahtera untuk membuat pengesanan kontak dan mengenal pasti individu yang merupakan pengguna MySJ Trace yang pernah ada kontak rapat dengan seorang lagi pengguna MySJ Trace yang telah disahkan positif COVID-19.
3. Siapakah pembangun MySJ Trace?
MySJ Trace dibangunkan melalui kerjasama strategik Agensi Kerajaan Malaysia: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Malaysian Institue of Microelectronic Systems (MIMOS).
4. Siapakah pengguna MySJ Trace?
Semua rakyat Malaysia dan warga asing yang menetap di Malaysia yang mempunyai aplikasi MySejahtera boleh mengaktifkan ciri MySJ Trace ini.
5. Bagaimanakah saya boleh muat turun MySJ Trace?
Pengguna hanya perlu mengemaskini aplikasi MySejahtera kepada versi yang terkini.
6. Bagaimanakah MySJ Trace berfungsi?
Aplikasi ini membolehkan pengguna yang telah mengaktifkan MySJ Trace saling berinteraksi untuk berkongsi interaksi menggunakan teknologi Bluetooth Low Energy (BLE). Maklumat interaksi yang terkumpul akan disimpan dalam bentuk yang hanya boleh diproses oleh pihak KKM.
Apabila seseorang pengguna MySJ Trace disahkan positif COVID-19, pengguna itu akan melakukan proses memuat naik maklumat interaksi yang terkumpul daripada MySJ Trace pengguna sepanjang 14 hari yang lalu ke satu pangkalan data yang dikawal oleh KKM.
7. Apakah itu pengesanan kontak (contact tracing)?
Pengesanan kontak (contact tracing) ialah proses identifikasi individu-individu yang berkemungkinan telah berada dalam jarak yang berdekatan dalam jangka masa tertentu dengan individu yang telah dikenal pasti positif COVID-19. Ia membolehkan pihak KKM mengesan dan menghubungi individu-individu tersebut sekali gus merancang tindakan seterusnya.
8. Sekiranya saya dikenal pasti sebagai kontak rapat pesakit COVID-19 melalui MySJ Trace, bagaimanakah saya akan dihubungi?
Pengguna akan menerima notifikasi di aplikasi MySejahtera.
9. Data apakah yang dikumpul oleh interaksi MySJ Trace?
Data yang dikumpul ialah Unique User ID (UUID) yang dihasilkan oleh aplikasi ini, versi pengoperasian sistem (Android atau iOS), waktu pertemuan dan maklumat Received Signal Strength Indicator (RSSI).
10. Adakah maklumat peribadi saya yang dikongsi dalam aplikasi ini selamat?
MySJ Trace adalah salah satu ciri yang diaktifkan dalam MySejahtera dikendalikan sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia. Kerajaan menjamin bahawa sebarang maklumat yang dikumpul dan digunakan akan mematuhi standard keselamatan maklumat Kerajaan Malaysia.
11. Adakah MySJ Trace memerlukan sambungan internet selepas pemasangan?
Ya, sambungan internet diperlukan apabila anda mula mengaktifkan fungsi MySJ Trace dan semasa memuat naik data.
12. Apakah peranti (device) yang menyokong fungsi MySJ Trace?
Fungsi ini disokong oleh peranti telefon bimbit yang menggunakan perisian sistem Android versi 8 ke atas dan iOS versi 10 ke atas. Untuk peranti Android, MySJ Trace akan terus berfungsi samada dalam paparan aktif atau tidak aktif, sekiranya telefon telah disetkan ke mod senyap (non-sleep).
Untuk peranti iOS, MySJ Trace perlu sentiasa berada pada paparan aktif dan peranti hendaklah dihidupkan sepanjang penggunaan aplikasi.
13. Adakah Bluetooth perlu diaktifkan pada setiap masa?
Ya. Bluetooth perlu diaktifkan pada setiap masa untuk MySJ Trace berfungsi dengan sepenuhnya.
14. Adakah penggunaan Bluetooth akan menyebabkan penggunaan bateri yang tinggi?
Pengaktifan Bluetooth melalui aplikasi ini pada telefon bimbit hanya menggunakan kuasa bateri yang rendah kerana penghantaran data adalah secara berkala tidak seperti penggunaan Bluetooth yang berterusan seperti ‘music streaming’.
15. Adakah aplikasi ini akan menggunakan tenaga bateri yang maksimum sekiranya MySJ Trace dibiarkan berjalan setiap masa?
MySJ Trace mempunyai ciri Bluetooth Kuasa Rendah (Bluetooth Low Energy (BLE)) yang menggunakan tenaga bateri secara minimum. Oleh itu, aplikasi ini tidak akan menggunakan tenaga bateri telefon bimbit pengguna secara berlebihan untuk tujuan mengumpul informasi pengesanan kontak yang berterusan
16. Apakah penggunaan Bluetooth dengan MySJ Trace akan menjejaskan aksesori Bluetooth yang lain?
MySJ Trace tidak akan menjejaskan penggunaan atau prestasi aksesori Bluetooth lain seperti pembesar suara tanpa wayar (wireless speakers), wireless earpiece/headphones dan jam pintar (smartwatches).
17. Mengapa saya perlu mengaktifkan kebenaran lokasi untuk perisian Android?
Perisian Android memerlukan kebenaran lokasi untuk membolehkan fungsi MySJ Trace menggunakan fungsi Bluetooth. Walau bagaimanapun, data geo lokasi tidak akan dikumpulkan. Untuk perisian iOS, hanya fungsi Bluetooth yang perlu diaktifkan.
18. Google dan Apple telah mempunyai teknologi Bluetooth Low Energy (BLE) yang dikenali sebagai “Exposure Notification”. Apakah perbezaan tersebut dengan MySJ Trace?
Untuk menggunakan sistem Exposure Notification, satu lagi aplikasi mudah alih harus dibina. MySJ Trace menggunakan MySejahtera sebagai platfom teknologi ini. Selain itu, dengan pengaktifan MySJ Trace di MySJ, ia membolehkan proses pemantauan dalam MySejahtera diperkasakan (pengurusan end-to-end).
Sumber: FAQ MySejahtera
Baca juga: