Untuk pengetahuan anda yang menggunakan Google Services atau aplikasi Google di peranti Android tablet dan telefon boleh lipat, Google kini telah melakukan beberapa kemas kini khas untuk peranti tersebut untuk meningkatkan tahap penggunaan perkhidmatan daripada syarikat mereka.
Pembaharuan ini dilaporkan akan dilakukan secara berperingkat seperti yang telah kami kongsikan sebelum ini.
Berikut adalah antara aplikasi yang telah dikemas kini.
Google Maps
Pembaharuan baharu ini hanya akan mengambil setengah ruang sahaja untuk paparan bar di bahagian bawah selari dengan bar carian di bahagian atas. Kemas kini mula dikuatkuasakan pada 26 November 2023.
Google Drive
Seperti yang anda tahu, paparan antara muka Google Drive untuk peranti tablet adalah lebih kurang sama dengan platform di web.
Selain itu, ia dilengkapi dengan pilihan folder hierarki di bahagian kiri yang membantu pengguna untuk navigasi fail dengan mudah.
Pengguna juga akan dapat melihat paparan “Last Modified” dan “Storage Used” di lajur yang disediakan.
Tambahan lagi, paparan fail PDF di peranti tablet akan mempunyai ciri butang yang membenarkan pengguna melihat dua halaman serentak.
Widget Google Drive
Selain daripada itu, Google juga telah mencipta beberapa widget yang dianggap sesuai untuk digunakan oleh pengguna yang sering mengakses Google Drive pada versi 2.22.357.1.
Berdasarkan gambar di bawah, ciri widget itu mempunyai keupayaan tindakan pantas untuk mencipta dokumen baharu dalam bentuk Docs, Sheets mahupun Slides dan akan disimpan secara terus ke dalam Google Drive.
Gmail
Untuk pengguna telefon boleh lipat, anda akan mempunyai keupayaan untuk membuka pautan yang disediakan di dalam e-mel secara sebelah menyebelah tanpa mengambil alih keseluruhan skrin untuk satu paparan pautan ataupun dokumen.
Gboard
Gboard kini mempunyai mod paparan kunci split untuk peranti tablet kerana pihak Google mendapati banyak pengguna menggunakan kedua belah tangan untuk menaip di peranti tablet yang mempunyai saiz paparan meliputi bahagian bawah tablet.
Sebenarnya, ciri sebegini telah lama ditawarkan Samsung.
YouTube Music
Tidak lupa juga untuk bahagian hiburan, paparan YouTube Music di tablet kini boleh dilihat dalam bentuk dua lajur antara muka yang memaparkan seni muka depan dan butiran lagu di bahagian kiri serta senarai lagu di bahagian kanan.
{suggest}
Sumber: 9to5Google