Apple baru-baru ini mengeluarkan iOS 26.2, membawa kemas kini dengan ciri baharu, penambahbaikan, pembetulan pepijat serta tampalan keselamatan.
Skrin kunci
Skrin Kunci (Lock Screen) kini dilengkapi slider Liquid Glass untuk menyesuaikan paparan jam. Dengan pilihan “Glass”, slider ini boleh dilaraskan untuk menjadikan jam kelihatan hampir sepenuhnya lutsinar, atau memberi kesan ‘ais beku’ yang lebih jelas.
Masih terdapat toggle “Solid” untuk mematikan sepenuhnya kesan Liquid Glass bagi rekaan jam lebih legap (opaque), dan pengguna juga masih boleh menukar warna paparan jam.
AirDrop
iOS 26.2 meningkatkan tahap keselamatan AirDrop dengan menambah satu lapisan pengesahan tambahan apabila digunakan dengan peranti yang tiada dalam senarai kenalan.
Kini, penerima boleh menjana kod AirDrop, yang kemudiannya dimasukkan oleh penghantar untuk melengkapkan pemindahan. Kod ini membolehkan AirDrop digunakan antara kedua-dua peranti untuk tempoh 30 hari.

Senarai individu/peranti yang telah dikongsi kod boleh diuruskan dengan membuka aplikasi Settings > General > AirDrop dan seterusnya pilih “Manage Known AirDrop Contacts”.
Apple Music
Apple Music kini menyokong lirik luar talian (offline), membolehkan pengguna melihat lirik lagu yang dimuat turun di aplikasi itu walaupun tanpa sambungan Wi-Fi atau data selular.

Reminders
Aplikasi Reminders kini menyediakan pilihan untuk membunyikan penggera (alarm) apabila sesuatu peringatan tiba masanya. Penggera ini boleh ditetapkan dengan mengaktifkan pilihan “Urgent” semasa mencipta peringatan.
Apabila penggera Reminders diaktifkan, pengguna boleh menangguhkan (snooze) atau leret untuk hentikan.
‘Flash’ untuk isyarat
Pilihan “Flash for Alerts” di Settings > Accessibility > Audio & Visual kini membolehkan skrin berkelip apabila terdapat notifikasi masuk. Sebelum ini, tetapan ini hanya terhad untuk LED di bahagian belakang iPhone.

Aplikasi Measure
Aplikasi Measure kini menampilkan reka bentuk Liquid Glass untuk alat pengukur aras, dengan dua buih Liquid Glass menggantikan bulatan putih.

Lain-lain
iOS 26.2 turut membawa penambahbaikan pada Podcast, Freeform, Sleep Score, serta pembetulan pepijat.
Ia juga merangkumi sejumlah tampalan keselamatan penting, termasuk dua kelemahan yang telah dieksploitasi untuk menyasarkan individu tertentu, dikenal pasti sebagai CVE-2025-43529 dan CVE-2025-14174. Kedua-duanya dikeluarkan sebagai respons terhadap laporan eksploitasi yang sama.

Ketersediaan
iOS 26.2 tersedia untuk semua peranti yang boleh menjalankan iOS 26, termasuk iPhone 11 dan model lebih baharu, iPhone SE generasi kedua dan terkini, serta iPhone Air.
Kemas kini iOS 26.2 boleh dipasang melalui OTA (over-the-air) dengan pergi ke Settings > General > Software Update > Update Now.
{suggest}




