India Mahu Halang Akses Terhadap Facebook & WhatsApp, Jika Perlu

Kerajaan India semalam telah membuat satu kejutan apabila mengarahkan syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan internet dan telekomunikasi untuk mencari jalan bagi menghalang akses terhadap laman Facebook dan platform media sosial lain seperti Instagram, WhatsApp dan Telegram.

Bagaimanapun, ia hanya akan dilaksanakan sekiranya terdapat penyalahgunaan terhadap laman-laman tersebut sehingga boleh mengancam keselamatan negara, lapor Reuters. Arahan ini dibuat selepas lima orang terbunuh disebabkan penyebaran fitnah melalui aplikasi WhatsApp di India bulan lalu.



Pembunuhan itu dikatakan berlaku selepas mereka dituduh sebagai penculik kanak-kanak dan perkara tersebut tular oleh kerana rantaian mesej melalui WhatsApp. Perkara ini juga didakwa menjadi salah satu sebab mengapa Facebook bertindak untuk mengehadkan jumlah mesej yang dipanjangkan.

India merupakan pasaran terbesar bagi platform media sosial di mana lebih 200 juta penduduk mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun media sosial. Ini bermakna mereka secara logiknya telah memanjangkan lebih banyak mesej, foto, video dan lain-lain berbanding negara-negara lain di dunia.

Kerajaan Malaysia mungkin boleh mengambil contoh dari kejadian bunuh dan tindakbalas kerajaan India ini untuk digunapakai bagi menjamin keselamatan rakyat dan negara. Ini kerana terlalu banyak fitnah dan berita tidak benar yang menyerang individu, perniagaan dan sebagainya tersebar dengan pantas di negara ini.

 

Sumber