Identiti Pengasas Bitcoin Akan Didedahkan Di Mahkamah Florida

Nama Satoshi Nakamoto sememangnya tidak asing kalau bercakap tentang mata wang kripto. Nakamoto dikenali sebagai pengasas Bitcoin namun identiti sebenar sebalik nama ini masih kekal misteri walaupun banyak pihak mendakwa merekalah 'bapa bitcoin' tersebut.

Bitcoin kini telah menjadi mata wang kripto terkenal di seluruh dunia dan nilainya telah meningkat sebanyak 400% sejak pengenalan lebih sedekad lalu.

Dengan pegangan Bitcoin milik Nakamoto bernilai sehingga 64 bilion dolar, kini mahkamah di Florida akan menjadi 'pengadil' menentukan siapakah sebenarnya di sebalik nama tersebut.

Untuk pengetahuan, David Kleiman ialah seorang pakar forensik komputer warga Amerika Syarikat yang telah meninggal dunia manakala Craig Wright pula seorang saintis komputer dan ahli perniagaan dari Australia.

Terbaru, keluarga mendiang David Kleiman telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Craig Wright dengan mengatakan mereka mempunyai bukti bahawa Kleiman dan Wright bersama-sama mengasaskan Bitcoin dan menggunakan nama 'Satoshi Nakamoto' sebagai samaran.

Selain itu, Wright juga dikatakan telah mengambil harta tinggalan Kleiman iaitu kira-kira sejuta cache Bitcoin. Ini melayakkan waris Kleiman untuk menuntut separuh daripada aset Bitcoin milik Nakamoto.

Sepanjang beberapa tahun lepas, Wright mengatakan dialah yang mengasaskan Bitcoin namun kenyataannya tidak konsisten sejak awal. Dia juga sehingga kini gagal menunjukkan hak pemilikannya terhadap mata wang tersebut.

Sumber: Independent

Baca juga:

Berkaitan