Penggodam Kriptowang Ini Dapat Tawaran Bekerja Dari Syarikat Yang Digodamnya

Pada minggu lalu, Poly Network telah mendedahkan bahawa laman sesawang blockchains mereka telah digodam sehingga mengakibatkan berlakunya kecurian mata wang kripto yang berjumlah USD600 juta (RM 2.54 bilion).

Malah insiden itu didakwa sebagai insiden kecurian mata wang kripto terbesar dalam sejarah setakat ini.

Poly Network adalah platfom yang digunakan bagi menjalankan urusan transaksi matawang kripto menerusi pelbagai blockchains yang berbeza.

Walaubagaimanapun, penggodam tersebut dilaporkan telah mengembalikan semula wang kripto yang dicurinya kepada Poly Network selepas wang kripto yang dicuri itu disekat daripada ditukar dalam bentuk matawang Dolar Amerika (USD).

Menjadikan insiden ini lebih menarik, Poly Network dilaporkan telah menawarkan kerja kepada penggodam yang hanya dikenali sebagai Mr. White Hat itu untuk bekerja dengan Poly Network.

Jawatan yang ditawarkan adalah Ketua Penasihat Keselamatan kepada Poly Network.

Sebelum ini Poly Network telah menawarkan ganjaran berjumlah USD500,000 kepada penggodam itu tetapi Mr. White Hat telah menolaknya.

Namun begitu pihak Poly Network menyatakan mereka tetap akan memindahkan wang ganjaran tersebut kepada Mr. White Hat.

https://twitter.com/PolyNetwork2/status/1427574236483231749

Sumber: BBC, PCGAMER, Poly Network