HONOR Magic V Dilancar, Telefon Lipat Pertama Guna Snapdragon 8 Gen 1

Sejak HONOR berpisah dengan Huawei, mereka kembali menyerikan arena telefon pintar. Kini, 'keserian' terserlah apabila sebentar tadi HONOR melancarkan telefon lipat pertama mereka, iaitu Magic V.

Bukan sahaja telefon boleh lipat pertama HONOR tetapi banyak lagi yang pertama bagi peranti tersebut. Memandangkan ia jenis 'fold', makanya rekaannya lebih kurang dengan telefon Samsung Galaxy Z Fold3.

Magic V menampilkan skrin luar yang berukuran 6.45 inci AMOLED dengan sokongan kadar segar semula 120Hz bernisbah 21:9. Sementara skrin dalam berkeluasan 7.9 inci AMOLED bernisbah 10:9 serta menyokong kadar segar semula 90Hz.

HONOR berani mengatakan bahawa skrin luar Magic V jauh lebih berguna apabila lipatan tidak dibuka kerana Galaxy Z Fold3 mempunyai skrin luar 6.2 inci.



Selain itu, skrin Magic V turut menyokong HDR10+, warna 10-bit, kecerahan maksimum 1000nits, format warna 100% DCI-P3 dan penarafan IMAX Enhanced. Ini merupakan telefon lipat pertama yang mempunyai penarafan tersebut.



Untuk kemampuan fotografi, terdapat tiga tetapan kamera 50MP yang merangkumi utama, sudut ultra lebar dan satu lagi yang digelar spectrum enhanced shooter. Kemudian, ia dipadankan kamera swafoto 42MP bagi skrin luar dan dalam.



HONOR Magic V dikuasakan cip Snapdragon 8 Gen 1 yang mana ia adalah telefon boleh lipat pertama menggunakannya. Turut dilengkapi memori 12GB RAM, storan dalaman 256GB/512GB, bateri 4750mAh dengan kelajuan mengecas sehingga 66W serta menjalankan Magic UI 6.0 yang berasaskan Android 12.

Terdapat tiga pilihan warna ditawarkan - hitam, silver dan oren. Tanda harganya adalah RMB9999 (~RM6590) bagi varian 12GB+256GB dan RMB10999 (~RM7250) untuk varian 12GB+512GB.

Baca juga: