Harga OPPO A5s Diturunkan, Kini Dijual Pada Harga RM499

Sewaktu dibawa masuk ke dalam pasaran Malaysia beberapa bulan yang lepas, OPPO A5s diletakkan pada nilai RM599. Kini bagi menambah daya penarik untuk model tersebut, OPPO Malaysia tampil memberikan penurunan harga sebanyak RM100 menjadikan harga jualan rasmi terbaru pada RM499.



OPPO A5s merupakan sebuah telefon pintar yang didatangkan dengan skrin paparan HD+ 6.2 inci bersama rekaan takuk 'titisan air' yang ditempatkan dengan kamera 8MP. Melengkapi bahagian belakang adalah dwi kamera 13MP+2MP, sensor pengimbas cap jari serta pilihan warna antara hitam dan merah.

Bagi sistem memori, ia menggunakan RAM 3GB digandingkan dengan storan 32GB dan dioperasikan cip pemprosesan MediaTek Helio P35. Menjalankan sistem ColorOS 5.1 berasaskan Android 8.1, peranti ini dijana dengan bateri 4230mAh yang mana daya pengecasan disalurkan melalui port pengecasan MikroUSB.