Beberapa minggu lalu, POCOPHONE F1 dengan rasminya tidak lagi tersenarai dalam peranti Xiaomi yang akan menerima MIUI 12.5 Enhanced Edition. Di sini saya ingin menceritakan pengalaman saya menggunakan POCO F1 ini selama lebih kurang 3 tahun sejak Disember 2018.
Macam mana boleh kenal POCOPHONE F1
Imbas kembali tahun 2018, ketika pertama kali saya dengar nama POCOPHONE F1, saya terfikir telefon apa nama pelik macam tu. Pada waktu tu, tanda pagar #BaikBeliPOCO semakin kerap dilaungkan di media sosial. Selepas membuat sedikit pembacaan, baru saya tahu bahawa POCO ini adalah syarikat bawah Xiaomi sebelum ia bergerak sendiri dengan nama POCO.
Saya tonton banyak ulasan mengenai POCO F1 sebelum saya membuat keputusan untuk membeli peranti berkenaan dan antara faktornya ialah harganya yang murah, menggunakan cip pemprosesan andalan, teknologi LiquidCool dan bateri yang besar.
POCOPHONE F1 ini juga adalah telefon termurah (RM1299) yang menggunakan cip Snapdragon 845 mengalahkan Asus Zenfone 5z (RM1899).
Pengalaman penggunaan yang memang puas hati
Sebelum cerita dengan lebih mendalam, sini saya hurai sedikit spesifikasi POCO F1 ini.
- Cipset: Snapdragon 845
- Skrin: 6.18 inci IPS LCD
- Bateri: 4000 mAh (18W pengecasan pantas)
- Kamera: 12MP (f/1,9) utama, 5MP (f/2.0) depth, 20MP (f/2.0) swafoto
- Pembesar suara: Stereo
- Varian: 6GB+128GB
- Fungsi: Pengimbas cap jari, infra merah Face ID, teknologi LiquidCool
Selepas saya angkat POCO F1 ini, saya memang terkejut dengan prestasi yang diberikan oleh telefon ini. Mungkin disebabkan saya berpindah daripada peranti janaan Snapdragon 625 kepada Snapdragon 845.
Ditambah pula dengan teknologi LiquidCool, lenjan main Mobile Legend dengan Honkai Impact pun puas dan lancar je. Cuma bila main Genshin Impact memang akan terasa panas la walaupun hanya guna tetapan grafik medium.
Disebabkan saya juga baru berpindah dari Android One ke MIUI, saya boleh cakap MIUI ini memang seronok. Dengan antara muka seakan-akan iOS, ia buatkan telefon ini nampak kemas sahaja.
Bateri pun besar, 4000 mAh memang tahan lama. Dapat pula pengecasan pantas 18W, 2 jam cas tu memang pasti dah penuh. Mungkin ada yang cakap 18W je apa yang pantas? Hai cik adik abang manis, untuk telefon 2 tahun lepas memang 18W tu dah kira laju. Kalau nak banding dengan sekarang memang la perlahan, dengan ada 120W pengecasan pantas lagi.
Teringat lagi waktu itu, saya sedang mencari ‘baju’ baru untuk POCO F1 ini, mana-mana kedai saya tanya kebanyakan memang tak pernah dengar jenama telefon ini.
Sama juga waktu saya hendak beli kad SIM 4G baru, ada ke patut dia cakap telefon murah tak boleh sokong 4G? POCO F1 ni sokong 4G tau tak? Geram juga waktu itu.
Untuk pengalaman guna selama 2 tahun menggunakan POCO F1 ini, saya boleh cakap yang saya sangat puas hati dengan prestasi yang diberikan oleh peranti ini.
Segalanya berubah…
(Dibaca dengan stail intro avatar) Dulu, POCO F1 merupakan sebuah peranti legenda. Semuanya berubah selepas wujudnya MIUI 12. Hanya pembangun (developer) yang mampu mengawal MIUI, tapi apabila pengguna buat aduan, mereka senyap. Setahun berlalu, dan MIUI masih lagi begitu. Sampai bila? Hanya tunggu untuk tahu.
Adakah anda setuju dengan saya? Mungkin ada yang setuju dan ada yang tidak. Itu pandangan dan pendirian masing-masing.
Mari saya cerita kenapa saya kata MIUI mengubah segalanya. Selepas sahaja MIUI 12 dilancarkan, memang banyak pembaharuan yang dibawa. Tapi dalam masa yang sama, ada juga masalah yang dibawa bersama.
Sebagai contoh pepijat (bug) yang paling teruk yang saya alami ialah bootloop membuatkan peranti anda restart banyak kali dan deadboot dimana ia membuatkan peranti tersebut tidak boleh dihidupkan.
Disebabkan pepijat ini, ada segelintir pengguna tegar Xiaomi yang bertukar kepada jenama lain kerana pengalaman gunanya yang agak teruk.
Sumbat masuk custom ROM
Kerana saya sudah muak dengan pengalaman penggunaan yang teruk, saya mengambil keputusan menggunakan custom ROM.
ROM yang saya gunakan adalah Pixel Experience yang berasaskan antara muka Google Pixel.
Untuk pengalaman guna custom ROM ini, saya boleh kata yang telefon saya lebih lancar dan bersih dari bloatware kerana terdapat beberapa fungsi dan sentuhan yang terdapat pada MIUI dibuang dalam custom ROM ini.
Tapi, apabila saya guna semua Pixel Experience ini, saya teringat akan Android One pada Mi A1. Perlu diingatkan juga bahawa, proses memasang custom ROM ini adalah risiko yang perlu anda tanggung sendiri jika terdapat apa-apa isu berlaku pada peranti anda.
Untuk baca lebih lanjut, anda boleh baca artikel berkenaan custom ROM dengan klik sini
Rumusan
Pengalaman saya menggunakan POCOPHONE F1 ini adalah antara pengalaman guna telefon pintar yang terbaik untuk saya. Saya puas hati dengan antara muka peranti ini walaupun MIUI 12 agak mengecewakan.
Dan memasang custom ROM adalah antara langkah terbaik untuk saya terus menggunakan peranti ini untuk mengelak daripada masalah pepijat yang teruk. Kepada pemilik POCOPHONE F1 anda boleh kongsikan pengalaman pahit manis bersama-sama peranti ini.