OpenAI akhirnya melancarkan GPT-5, model kecerdasan buatan generatif terbaharu yang kini menjadi teras kepada ChatGPT. Model ini dikatakan mampu bertindak seperti pakar pelbagai bidang yang merangkumi bidang matematik, sains, undang-undang, kewangan, penulisan, kod, kesihatan hinggalah kepada visual.
Melalui pengenalannya, GPT-5 adalah model yang hadir dengan “otak” lebih tajam, lebih laju dan OpenAI mengatakan ia umpama pakar peringkat PhD.
Berikut adalah apa yang baharu.
AI yang bijak pilih otak sendiri
Salah satu pembaharuan besar GPT-5 adalah sistemnya yang menggabungkan beberapa varian model dalam satu platform. Ia menggunakan “router” pintar yang secara automatik memilih model paling sesuai berdasarkan kerumitan tugasan.
Ia bukanlah router WiFi tetapi otak pintar yang tahu bila nak guna sesuatu model itu.
Jika soalan mudah, ia akan menggunakan model pantas; jika tugasan lebih rumit, ia akan beralih kepada model yang mampu “berfikir” mendalam.
Ini bermakna pengguna tidak lagi perlu memilih model secara manual seperti terdahulu. AI akan menyesuaikan diri secara masa nyata.
Lebih tepat, kurang halusinasi
GPT-5 direka untuk memberikan jawapan yang lebih tepat dan pantas, dengan kadar kesilapan atau halusinasi yang jauh lebih rendah.
Berdasarkan ujian dalaman OpenAI, model ini 45% kurang berisiko memberikan fakta salah berbanding GPT-4o, dan 80% lebih baik daripada model o3.
Keupayaan ini menjadikannya lebih boleh dipercayai untuk tugasan penting seperti analisis data, penyelidikan atau penulisan teknikal.
Kemahiran pengaturcaraan
Dalam bidang pengaturcaraan, GPT-5 menunjukkan prestasi luar biasa. Ia bukan sahaja mampu menulis kod kompleks, malah boleh membaiki (debug) keseluruhan koleksi kod besar.
Selain itu, ia cemerlang dalam melaksanakan tugasan berperingkat atau “agentic tasks”, seperti merancang projek, membina aplikasi, dan memberikan laporan kemajuan secara berstruktur yang mana seolah-olah anda mempunyai pembantu projek maya yang sentiasa bersedia.
Berita baik – akses percuma untuk semua
OpenAI membuka akses GPT-5 kepada semua pengguna ChatGPT, termasuk pengguna versi percuma.
Walau bagaimanapun, pelan Plus memberikan had penggunaan lebih tinggi, manakala pelan Pro (USD200 sebulan) menawarkan akses tanpa had serta varian “thinking-pro” untuk tugasan yang lebih kompleks.
Ini memberi pilihan fleksibel mengikut keperluan pengguna, sama ada individu biasa atau profesional.
Penggunaan industri dan integrasi meluas
GPT-5 tidak hanya direka untuk pengguna individu, malah sudah digunakan oleh syarikat besar seperti Amgen, BNY, Figma, Lowe’s, Morgan Stanley dan SoftBank.
Microsoft turut mengintegrasikan GPT-5 ke dalam Copilot, Microsoft 365, dan Azure AI Foundry, lengkap dengan lapisan keselamatan tambahan melalui pasukan “AI Red Team”.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, GPT-5 bukan sekadar kemas kini teknologi, tetapi satu revolusi dalam cara kita bekerja dan berkarya.
Dalam tempoh yang saya boleh katakan singkat, AI berevolusi sangat pantas. CEO OpenAI, Sam Altman ada mengatakan yang model ini merupakan satu langkah menuju ke Artificial General Intelligence (AGI) di mana AGI merujuk kepada sistem AI yang mampu memahami, belajar dan menyelesaikan apa sahaja jenis tugasan intelektual yang manusia boleh lakukan.
Sebelum ini, Mark Zuckerberg dalam catatan terbarunya juga sudah memberi bayangan terhadap perkara ini melalui superintelligence.
Beliau percaya bahawa AI berpotensi membuka era baharu di mana individu diberi kuasa untuk mencapai matlamat peribadi mereka, bukan digantikan oleh mesin.
{suggest}