Google hari ini memperkenalkan Gemini 3, siri model baharu yang digambarkan sebagai model AI syarikat itu yang paling pintar dan paling tepat dari segi fakta setakat ini. Model pertama dalam siri ini ialah Gemini 3 Pro.
Sebelum ini, Gemini 1.0 memberi tumpuan kepada multimodal asli dan konteks yang lebih panjang. Setahun kemudian, Gemini 2.0 pula menjadi asas kepada kebolehan agentik dan meningkatkan keupayaan penaakulan. Sementara Gemini 2.5 memperkenalkan keupayaan penaakulan dan pengekodan yang mendalam.
Gemini 3, yang kini tidak lagi menggunakan “.0”, menggabungkan semua kemampuan Gemini untuk membolehkan pengguna “menghidupkan apa sahaja idea dengan lebih mudah”.
Google mengatakan Gemini 3 kini lebih baik dalam memahami konteks dan niat sebenar bagi permintaan pengguna, yang membolehkannya memberi jawapan lebih tepat tanpa perlu arahan panjang. Ia menawarkan keupayaan penaakulan terbaik, mampu mengenal pasti petunjuk halus dalam idea kreatif serta menghurai lapisan masalah yang rumit dengan lebih mendalam.
Gemini 3 Pro
Gemini 3 Pro membawa tahap kefahaman yang lebih mendalam dalam setiap interaksi. Responsnya lebih pintar, ringkas dan jelas, menggantikan klise dan pujian dengan pandangan sebenar yang membantu pengguna.
Dari segi prestasi awal, Gemini 3 Pro mencatat skor 1501 Elo di LMArena dan mengatasi 2.5 Pro yang sebelum ini menduduki tempat teratas dengan skor 1451.

Selain teks, Gemini 3 Pro turut mencatatkan prestasi terkini 72.1% di SimpleQA Verified, menunjukkan peningkatan ketara dari segi ketepatan fakta.

Model AI ini juga menjadi kuasa di sebalik ciri eksperimen Gemini Agent, yang boleh melakukan tugasan dalam aplikasi Gemini, seperti menyemak dan menyusun e-mel, atau menyelidik dan menempah perjalanan.
Sementara itu, mod Gemini 3 Deep Think meningkatkan lagi keupayaan penaakulan dan pemahaman multimodal untuk membantu menyelesaikan masalah yang lebih kompleks.
Gemini 3 dalam AI Mode
Gemini 3 dalam AI Mode akan memaparkan elemen visual seperti imej, jadual dan grid berdasarkan pertanyaan pengguna. Ia turut memperkenalkan pengalaman antara muka generatif baharu, seperti susun atur visual yang imersif serta alat dan simulasi interaktif, semuanya dijana secara automatik berdasarkan pertanyaan pengguna.
Ia juga mampu melakukan lebih banyak carian menggunakan versi terkini “query fan-out technique” Google, yang bukan sahaja memecahkan soalan kepada bahagian yang boleh dicari bagi pihak pengguna, tetapi kini lebih bijak memahami niat pengguna untuk menemui kandungan baharu yang mungkin terlepas sebelum ini.
Ketersediaan
Untuk pertama kali, Google memberi semua pengguna akses kepada model AI flagship terbarunya, Gemini 3 Pro, dalam aplikasi Gemini pada hari pelancarannya. Mulai hari ini, Gemini 3 akan diperkenalkan kepada:
- Semua pengguna melalui aplikasi Gemini, serta pelanggan Google AI Pro dan Ultra dalam AI Mode di Search.
- Pembangun melalui Gemini API dalam AI Studio, platform pembangunan agen baharu Google Antigravity, dan Gemini CLI.
- Syarikat melalui Vertex AI dan Gemini Enterprise.
Bagi Mod Deep Think Gemini 3, Google mengambil masa tambahan untuk penilaian keselamatan dan maklum balas daripada penguji keselamatan sebelum ia diperkenalkan kepada pelanggan Google AI Ultra dalam beberapa minggu akan datang.
Google turut merancang untuk melancarkan model tambahan dalam siri Gemini 3 tidak lama lagi.
{suggest}
