Galaxy A8s Mungkin Muncul Sebagai Telefon Dengan Skrin Penuh Pertama Samsung

Pada awal minggu ini, kami ada melaporkan mengenai rancangan mereka untuk membangunkan peranti dengan sensor kamera dalam skrin. Hanya beberapa hari selepas itu, Samsung kini dikatakan telah bersedia untuk melancarkan peranti pertama dengan rekaan berikut tidak lama lagi.

Sekiranya benar, model yang digelar sebagai Samsung Galaxy A8s itu bakal menjadi peranti pertama dengan skrin paparan penuh keluaran syarikat Korea tersebut. Samsung selama ini terkenal dengan "kedegilan" mereka untuk tidak menggunakan rekaan takuk bagi mana-mana keluaran mereka.

Walaupun ia satu tindakan yang terpuji, ia juga mengakibatkan peranti keluaran mereka tidak mampu menawarkan paparan penuh untuk kepuasan pengguna. Atas sebab itu, Galaxy A8s ini dijangka mampu menarik perhatian ramai terutamanya peminat jenama Samsung sendiri.

Kapsyen: Kredit: SAMMOBILE


Menurut sumber, model ini akan hadir dengan spesifikasi kelas pertengahan memandangkan ia akan menggunakan cip Snapdragon 710. Selain sistem cip, Galaxy A8s juga dilaporkan bakal hadir dengan bateri berkapasiti 3,000mAh.

Samsung dikatakan sedang menguji kedudukan bagi kamera hadapan model ini. Berdasarkan gambar di atas, tiga kedudukan berbeza sedang dalam proses pemilihan oleh pihak mereka.

Peranti ini didakwa akan dilancarkan pada awal tahun hadapan maka lebih banyak lagi maklumat mengenainya mungkin akan dapat diperolehi nanti. Jadi, teruskan bersama kami untuk perkembangan dunia teknologi global.

 

Sumber: SAMMOBILE