Foxconn Dilapor Takkan Jadi Pembekal Eksklusif Untuk iPhone 15 Pro Dan 'Ultra'

Sebut saja nama Foxconn, ramai yang tahu dengan reputasinya sebagai pengilang iPhone. Hal ini turut disumbang penjual dan pembekal alat aksesori yang mendakwa aksesori mereka asli daripada kilang Foxconn sedangkan entah betul atau tidak.

Foxconn ialah satu-satunya pengilang dan pembekal iPhone model Pro selama ini dan ia berpengkalan di China serta mempunyai kilang di India.



Hal ini mungkin akan berubah bermula siri iPhone 15 tahun depan kerana penganalisis melaporkan Apple akan mula memberi kontrak pengeluaran iPhone 15 Pro dan "Ultra" ini kepada beberapa syarikat lain juga.
Mark Gurman daripada Bloomberg mengatakan iPhone 15 Pro Max berpotensi menggunakan nama 'iPhone 15 Ultra' selain hadir dengan USB-C.

Ini bermakna Foxconn bukan lagi pembekal ekslusif untuk iPhone versi Pro selepas ini.

{suggest}

Apple mengambil tindakan ini kerana beberapa isu besar dihadapi kilang Foxconn di China sejak COVID-19 melanda. Buat masa ini, antara kekangan dihadapi ialah kekurangan tenaga kerja disebabkan polisi kerajaan China dan persiapan untuk Tahun Baru Cina.

Justeru, pengeluaran iPhone dilaporkan terjejas.

Antara nama yang disebut akan disenaraikan sebagai pengilang iPhone 15 Pro kelak ialah Luxshare yang mempunyai kilang juga di China dan Vietnam.



Bukan hanya untuk iPhone 15, malah Kuo juga berkata Luxshare dan Pegatron akan menghasilkan sekitar 10% masing-masing untuk pengeluaran iPhone 14 Pro dan Pro Max yang dijangka bermula hujung bulan ini.

Ini dipercayai cubaan Apple untuk melihat hasil gerak kerja baharu ini.

TrendForce percaya 30-35% daripada peranti Apple keseluruhannya nanti akan datang daripada Vietnam dan India.

Sumber: Ming Chi-Kuo, TrendForce, Mark Gurman