Facebook Memberitahu Pengguna Berapa Lama Mereka Menghabiskan Masa Untuk Aplikasi Tersebut

Facebook selepas ini membolehkan pengguna mengetahui berapa lama masa dihabiskan mereka di dalam aplikasi tersebut.

Ciri yang dipanggil 'Your Time On Facebook' itu menyenaraikan berapa lama dan purata masa pengguna berada di dalam Facebook untuk setiap hari untuk tempoh seminggu. Pengguna boleh meletakkan had masa yang dikehendaki mereka untuk setiap hari.

Ciri ini dalam fasa prototaip dan perkara ini disedari oleh TechCrunch yang kemudiannya disahkan oleh pihak Facebook.



Ciri ini menurut Facebook adalah membantu pengguna sedar tentang masa yang dihabiskan mereka di laman media sosial tersebut di samping pilihan peringatan bagi tidak terus menggunakan Facebook apabila sudah mencapai had yang ditetapkan.

Ciri ini juga akan diguna pakai oleh satu lagi aplikasi terkenal milik Facebook iaitu Instagram.

Facebook yang sebelum ini dikaitkan dengan skandal Cambridge Analytica telah ditekan untuk melakukan perubahan bagi melindungi hak privasi pengguna mereka.