Aplikasi video selamat untuk anak-anak, Durioo+ telah memperkenal versi terkini yang tampil dengan antara muka yang serba baharu bersama dua ciri iaitu DuDeen dan DuReels serta barisan permainan dalam Durioo Games.
Hadir dengan slogan “Wajah Baru, Lagi Padu, Senangkan Ibu,” rombakan antara muka ini jelas sangat berbeza daripada versi terdahulu dan ia dikatakan lebih memudahkan anak-anak dan ibu ayah untuk menavigasi kandungan dalamnya.
Dari segi antara muka, Durioo+ kini beroperasi dalam mod vertikal berbanding horizontal. Bagi video pula, ia boleh dimainkan dalam kedua-dua mod iaitu vertikal dan horizontal.
Secara keseluruhannya juga, versi baharu tampak lebih menarik dan mesra pengguna kerana dipenuhi poster dan gambar konten berbanding versi sebelum ini yang lebih banyak menampilkan butang ikon.
Selain itu, ciri DuDeen yang pertama kali dilancarkan ini hadir dengan tujuan akan membantu anak-anak untuk menghafal surah lazim dan doa harian di mana ia terdapat beberapa tahap yang anak perlu lepasi. Pada peringkat akhir, ibu/ayah harus mengesahkan status hafal anak.
Satu lagi ciri iaitu DuReels pula seakan-akan Instagram Reels, YouTube Shorts dan TikTok di mana kesemua video hadir dalam tab khas dan dimainkan dalam bentuk vertikal.
Akan tetapi, pasukan Durioo dalam acara Durioo+ Experience berkata DuReels mempunyai tujuan yang berbeza berbanding platform lain kerana mempunyai ciri antiketagihan — aplikasi akan ‘merehatkan’ anak selama 15 saat untuk setiap 5 video DuReels.
Untuk makluman, aplikasi tersebut juga memang sudah mempunyai ciri “Screen Time Daily Limit” sejak dulu yang membolehkan ibu ayah menetapkan tempoh penggunaan dalam sehari, misalnya 1 jam sehari.
Bukan sekadar antara muka dan ciri baharu, Durioo juga pada hari pelancaran tempoh hari mengumumkan Durioo Games iaitu permainan ringkas untuk anak-anak yang hadir dalam aplikasi tersendiri. Setakat ini, 2 daripada 6 permainan sudah boleh dimuat turun di peranti Android.
Versi terbaharu Durioo+ sudah boleh didapati di telefon dan TV Android/Google melalui kemas kini di Play Store dan App Store.
Beberapa jenis peranti seperti tablet dan, Apple TV, Samsung TV pula akan menerimanya dalam masa terdekat.
{suggest}