Sebut sahaja nama Kodak, pasti ramai yang mengenalinya. Syarikat Amerika ini diasaskan oleh George Eastman pada tahun 1888.
Dengan slogan “You press the button, we do the rest”, George Eastman meletakkan ‘kamera mudah’ pertama ke tangan pengguna di seluruh dunia. Ia menjadikan proses yang sebelum ini rumit serta membebankan lebih mudah dan boleh diakses oleh hampir semua orang.
Seperti yang beliau ungkapkan secara ringkas, “menjadikan kamera semudah menulis dengan pensel.”

Asal-usul nama Kodak
Nama Kodak didaftarkan sebagai tanda dagang oleh Eastman pada 4 September 1888. Mungkin ada yang pernah mendengar pelbagai versi tentang asal-usulnya, termasuk mengaitkannya dengan bunyi shutter kamera Kodak.
Namun, kebenarannya, Eastman mencipta nama itu sendiri, secara begitu sahaja.
“Saya cipta nama itu sendiri… Huruf ‘K’ sentiasa menjadi kegemaran saya kerana nampak seperti huruf yang kuat dan tegas. Ia menjadi persoalan untuk mencuba pelbagai kombinasi huruf yang membentuk perkataan bermula dan berakhir dengan ‘K’. Daripada situ lahirnya perkataan ‘Kodak’.”
Inovasi gulungan filem (film roll)
Secara ringkas, idea gulungan filem timbul daripada keperluan kaedah yang lebih praktikal dan mudah dibawa untuk menangkap dan melihat gambar, berbanding pelat kaca yang berat dan peralatan yang membebankan.
Inovasinya, Kodak mencipta filem fleksibel dan lutsinar yang boleh digulung. Pada tahun 1888, Eastman Kodak Company melancarkan Original Kodak, kamera Kodak pertama yang direka khusus dengan gulungan filem.
Gulungan filem lutsinar komersial mula dipasarkan pada 1889, membuka jalan kepada pembangunan kamera Thomas Edison pada 1891.
Kejayaan Kodak
Kodak terus berkembang dan menguasai dunia fotografi selama beberapa dekad. Bayangkan, pada 1976, Kodak menguasai 95% pasaran filem dan 85% pasaran kamera di Amerika Syarikat.

Sekitar tahun 1980-an, Kodak mempunyai kira-kira 150,000 pekerja. Ia menjadi antara syarikat paling berpengaruh di dunia, dikenali oleh hampir semua orang dan mencerminkan betapa dominannya jenama ini pada era kegemilangannya.
Namun, kejayaan besar itu membuat Kodak terperangkap dalam ‘myopia’. Syarikat itu terlalu selesa dengan kejayaan sehingga gagal membaca perubahan besar dalam teknologi.
Inovasi digital yang ‘terlepas pandang’
Pada tahun 1975, jurutera Kodak, Steve Sasson, mencipta kamera digital pertama di dunia. Kamera ini sebesar pembakar roti, mengambil masa 20 saat untuk merakam imej, resolusinya rendah, dan perlu disambung ke televisyen untuk melihat gambar.
Walaupun ini menandakan permulaan revolusi digital, Kodak dikatakan terlalu bergantung pada perniagaan filem yang menguntungkan. Syarikat itu lambat menyesuaikan diri dengan teknologi digital, manakala eksekutifnya pula terjebak dalam mentaliti “produk sempurna”.
Namun begitu, kegagalan Kodak tidak boleh disalahkan sepenuhnya kepada teknologi semata-mata.
Dr. Kamal Munir dari Cambridge Judge Business School menegaskan bahawa fotografi adalah aktiviti sosial. “Anda tidak boleh fahami bagaimana orang berinteraksi dengan gambar mereka tanpa analisis sosial yang mendalam,” jelasnya.
Kejatuhan dan cabaran Kodak
Diringkaskan, masa terus berlalu. Sementara Nikon, Canon, Sony dan syarikat lain menerajui pasaran digital, Kodak mula kehilangan pegangan pasaran.
Orang ramai mula beralih kepada kamera digital. Kemuncaknya, muncul telefon pintar dengan kamera canggih yang sekali lagi mengubah landskap fotografi.
Pada 2012, Kodak memfailkan perlindungan kebankrapan di bawah Chapter 11 di AS, dengan aset bernilai $5.1 bilion dan liabiliti sebanyak $6.75 bilion. Setahun kemudian, syarikat ini keluar dari kebankrapan dan beroperasi semula sebagai syarikat teknologi berfokuskan perniagaan.
Baru-baru ini, laporan kewangan Kodak menimbulkan kebimbangan selepas mengakui menanggung beban hutang yang tinggi. Namun, Kodak menafikan dakwaan bakal gulung tikar, menegaskan bahawa ia hanyalah keperluan teknikal perakaunan dan operasi harian masih stabil.
Hari ini, Kodak masih ada, tetapi bukan lagi raja fotografi. Syarikat yang pernah mendominasi dunia kini menghadapi cabaran besar.
Kodak mungkin tidak akan pernah lagi menjadi “Kodak”, namun ia kekal sebagai ikon yang pernah mengubah cara kita melihat dunia.
{suggest}
Rujukan: Kodak (1,2), Bloomberg Originals, Hollywood Walk of Fame, University of Cambridge