Kalau dulu, komputer hanya ada dua pemprosesan unit utama sahaja iaitu CPU dan GPU.
CPU (Central Processing Unit) ialah otak komputer yang bertanggungjawab untuk melaksanakan arahan, melakukan pengiraan, dan mengurus aliran data antara perkakasan dan perisian.
GPU (Graphics Processing Unit) pula adalah pemproses khusus yang direka untuk mengendalikan grafik komputer, menjadikannya penting untuk menjalankan permainan, penyuntingan video, dan tugas AI moden.
Tetapi, komputer dan telefon pintar moden hari ini mempunyai pelbagai “otak” kecil yang bekerja bersama bagi menjalankan sesebuah peranti.
NPU
NPU (Neural Processing Units) ialah cip baharu dalam teknologi pemprosesan.
Ia merupakan perkakasan yang direka khusus memacu AI pada peranti mudah alih.
Ia meniru cara otak manusia memproses maklumat, sangat cekap tenaga, dan sesuai untuk pengecaman imej, suara serta terjemahan masa nyata.
Kelebihannya ialah pemprosesan yang dibuat semuanya terus di dalam peranti.

Antara syarikat utma yang memuatkan NPU dalam produk mereka adalah Apple dan Huawei.
TPU
TPU (Tensor Processing Unit) pula ialah cip khusus yang dibangunkan Google untuk tugasan AI.
Ia direka khusus untuk mempercepatkan tugas pembelajaran mesin dan pembelajaran mendalam, terutamanya untuk kerangka TensorFlow Google untuk beban kerja AI berskala besar.
TPU terbaru mereka yang dikenali sebagai Ironwood adalah TPU generasi ke-7 mereka yang digunakan dalam perkhidmatan Google dan ditawarkan melalui Google Cloud.
Ironwood direka khas untuk beban kerja mencabar: daripada latihan model berskala besar dan pembelajaran penguatan (RL) yang kompleks hingga inferens AI berkelajuan tinggi dan latensi rendah.
Google menyatakan, Ironwood adalah silikon tersuai mereka yang paling berkuasa dan cekap tenaga yang pernah dihasilkan setakat ini.
Kelebihan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pusat data, malah menyokong pembangunan teknologi baharu.
LPU
Dalam pengkomputeran, LPU (Language Processing Unit) adalah sejenis pemproses baru yang direka khusus untuk mempercepatkan tugasan pemprosesan bahasa semula jadi (NLP) seperti melatih dan menjalankan model bahasa besar (LLM).
LPU dibangunkan khusus untuk mengendalikan keperluan unik model AI berasaskan bahasa.
Berbeza dengan CPU atau GPU, LPU dioptimumkan untuk analisis teks, pertuturan masa nyata, terjemahan pelbagai bahasa dan kecerdasan perbualan.

Keperluan ini muncul kerana aplikasi seperti chatbot, terjemahan segera dan model NLP (Natural Language Processing) moden memerlukan kuasa pemprosesan yang besar serta cekap tenaga.
Ringkasnya, LPU adalah pemproses yang direka khas untuk menyediakan pemprosesan pantas, latensi rendah, dan cekap tenaga bagi AI berasaskan bahasa, membolehkan aplikasi daripada chatbot hingga terjemahan masa nyata.
Ia lebih sesuai untuk mengendalikan beban kerja yang berat dengan teks berbanding CPU atau GPU.

DPU
Dalam dunia pengkomputeran moden, Data Processing Unit (DPU) muncul sebagai komponen penting yang melengkapkan CPU dan GPU.
DPU yang diterajui Nvidia ialah pemproses boleh atur cara yang direka khusus untuk mengendalikan tugasan berasaskan data seperti rangkaian, storan dan keselamatan.
Dengan keupayaan ini, DPU mampu mengurangkan beban kerja CPU dan GPU, membolehkan kedua-duanya fokus pada aplikasi serta pengiraan intensif.

Secara asasnya, DPU menggabungkan antara muka rangkaian berprestasi tinggi, teras pemproses boleh atur cara, serta pemecut perkakasan untuk tugasan seperti penyulitan, pemampatan dan pemprosesan paket.
Hasilnya, pusat data dapat beroperasi dengan lebih cekap, selamat dan pantas.
DPU kini digunakan secara meluas dalam pengkomputeran awan, sistem storan berskala besar, dan beban kerja AI/ML yang memerlukan pergerakan data pantas.
Kesimpulan
Apa yang dapat disimpulkan, setiap unit cip pemprosesan mempunyai peranannya tersendiri.
Kewujudan teknologi pemprosesan baharu pula bukanlah untuk menggantikan CPU atau GPU sepenuhnya tetapi untuk saling melengkapi dalam menyampaikan kuasa pemprosesan.
Dengan gabungan semua teknologi pemposesan baharu ini, ia menjadikan peranti moden lebih pantas, pintar dan efisien.
{suggest}


