IBM dan Cisco mengumumkan kerjasama strategik untuk membangunkan rangkaian komputer kuantum berskala besar dan tahan ralat menjelang awal 2030-an.
Dalam tempoh lima tahun, kedua-dua syarikat merancang demonstrasi awal yang menghubungkan beberapa komputer kuantum, membolehkan pengiraan melibatkan puluhan ribu qubit dan trilion pintu kuantum.

IBM membawa kepakaran dalam membina komputer kuantum, manakala Cisco menyumbang inovasi rangkaian kuantum.
“Mencapai skala berguna bagi pengkomputeran kuantum bukan sahaja tentang membina mesin tunggal yang lebih besar, malah ia juga melibatkan penghubungan mesin-mesin tersebut bersama-sama,” kata Vijoy Pandey, GM/SVP.
Gabungan ini dijangka membuka jalan kepada aplikasi transformasi seperti penyelesaian masalah pengoptimuman berskala besar, reka bentuk bahan kompleks, serta pembangunan ubat baharu.
Antara teknologi utama termasuk unit rangkaian kuantum (QNU), transduser gelombang mikro-optik, dan protokol perisian berkelajuan tinggi untuk menyegerakkan operasi dengan ketepatan sub-nanosaat.

Visi jangka panjang kerjasmaa ini ialah mewujudkan “internet kuantum” menjelang akhir 2030-an, yang menghubungkan komputer kuantum, sensor dan sistem komunikasi di seluruh dunia.
Ke arah visi ini, IBM juga bekerjasama dengan Pusat Bahan dan Sistem Kuantum Superkonduktor (SQMS), yang diterajui oleh Makmal Pemecut Nasional Fermi, dalam peranannya sebagai ahli kepada empat daripada Pusat Penyelidikan dan Sains Maklumat Kuantum Nasional Jabatan Tenaga A.S.
Bersama-sama, IBM dan SQMS akan menyiasat berapa banyak QNU (quantum network unit) yang boleh digunakan dalam pusat data kuantum, dan mereka merancang satu demonstrasi awal beberapa QPU (quantum processing unit) yang disambungkan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Kerjasama ini turut melibatkan pembiayaan penyelidikan akademik, memperkukuh ekosistem kuantum global dan menjadikan pusat data kuantum sebagai realiti masa depan.
{suggest}
