Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Gelembung AI Atau Revolusi Teknologi, Ia Sedang Berlaku Di Depan Mata Kita

Posted on November 27, 2025November 27, 2025

Sejak kebelakangan ini, sebutan “AI” dan berita tentang kecerdasan buatan semakin menggila. Hampir setiap hari media memperkatakannya.

Dari syarikat gergasi teknologi ke startup kecil, hampir semua mahu tunjukkan bahwa mereka syarikat yang tidak terbelakang dalam AI.

Namun, ekoran daripada pelaburan besar-besaran dalam kegilaan ini, kini mula timbul persoalan daripada para pakar, adakah kita tengah alami apa yang dipanggil sebagai “AI bubble” atau gelembung AI.

Apa itu gelembung AI?

Banyak syarikat AI, atau syarikat yang “tampak AI”, mempunyai penilaian (valuation) yang sangat tinggi — tetapi keuntungan sebenar, atau pendapatan daripada projek AI, kadang tak seberapa dan meragukan.

Istilah “gelembung AI” menggambarkan situasi di mana pasaran menilai syarikat dan teknologi AI pada tahap yang mungkin tidak dapat dikekalkan berdasarkan prestasi dan keuntungan sebenar mereka.

Fenomena ini dicirikan oleh jangkaan yang melampau terhadap potensi transformasi AI, yang membawa kepada pelaburan yang besar dan kenaikan harga saham yang tinggi, terutamanya di kalangan syarikat teknologi utama seperti Nvidia, Microsoft, dan Alphabe

Jadi,apabila penilaian saham yang banyak bergantung pada janji masa depan (bukan hasil sekarang), ia mengingatkan kembali kita kepada fenomena gelembung 25 tahun dahulu iaitu gelembung dot-com.

Gelembung dot-com

Antara tahun 1995 hingga 2000, dunia menyaksikan kebangkitan luar biasa syarikat berasaskan Internet yang digelar “dot-com”.

Pasaran saham, khususnya indeks Nasdaq, melonjak tinggi kerana didorong oleh keyakinan pelabur dan keberanian modal teroka membiayai syarikat baharu, walaupun banyak daripadanya tidak mempunyai rekod keuntungan atau model perniagaan yang realistik.

Malah, ramai pekerja yang menerima opsyen saham menjadi jutawan sekelip mata apabila syarikat mereka disenaraikan.

Namun, keyakinan melampau ini membawa kepada penilaian saham yang jauh melebihi nilai sebenar. Ramai pelabur percaya faktor tradisional seperti aset, liabiliti, dan aliran tunai tidak lagi relevan untuk menilai syarikat Internet.

Namun, segalanya berubah pada tahun 2000 apabila Rizab Persekutuan menaikkan kadar faedah untuk mengawal inflasi. Tindakan ini mencetuskan panik jualan besar-besaran. Dalam tempoh dua tahun, Nasdaq jatuh mendadak kepada 1,139 mata, menghapuskan hampir semua keuntungan era dot-com.

Menjelang Oktober 2002, kebanyakan syarikat dot-com yang tersenarai telah gulung tikar.

Kisah ini menjadi pengajaran penting: pasaran yang dipacu oleh spekulasi tanpa asas kukuh akhirnya akan runtuh, meninggalkan kesan mendalam kepada ekonomi dan pelabur.

Sejarah itu dilihat seakan berlaku sekarang apabila dunia menyaksikan perbelanjaan global dalam AI meningkat melangkaui paras sebelumnya meliputi pelaburan dalam pusat data, pembangunan dan pengeluaran cip serta infrastruktur AI yang meningkat berganda.

Ini bukan gelembung

Walau bagaimanapun, terdapat para pakar dan pemain utama industri menyatakan bhawa ini sebagai bukan gelembung.

Sebaliknya, ada pakar berpendapat gelombang AI bukan sekadar gelembung spekulatif, tapi ia boleh jadi asas kepada revolusi teknologi baharu.

Mereka berhujah bahawa pelaburan besar bukan semata-mata untuk “hype”, tetapi untuk membina infrastruktur jangka panjang, yang akan menyokong inovasi dan transformasi digital dalam pelbagai sektor seperti kesihatan, pendidikan, automasi dan lain-lain.

Ini kerana, berbeza dengan gelembung dot-com di mana banyak syarikat tiada produk sebenar, banyak pemain AI hari ini terutama gergasi global  sudah pun merekodkan keuntungan dan mempunyai perniagaan kukuh selain AI.

Maka, ada pandangan yang menyifatkan apa yang kita lihat sebagai “gelembung” mungkin lebih tepat digelar “ledakan infrastruktur dan pelaburan besar untuk peralihan teknologi.”

“Terdapat banyak perbincangan mengenai gelembung AI. Dari sudut pandang kami, kami melihat sesuatu yang sangat berbeza,” Jensen Huang, CEO Nvidia.

Jika gelembung meletus

Tapi, apa yang akan berlaku jika sejarah gelembung dot.com berlaku pada gelembung AI – contohnya, jika banyak projek gagal hasilkan pulangan memuaskan.

Saham syarikat gergasi dan syarikat pemula AI boleh jatuh mendadak, sekali gus mendedahkan pelabur kepada kerugian besar sehingga memberi kesan besar yang bukan sahaja kepadasektor teknologi, tetapi juga terhadap pasaran saham global.

Infrastruktur mahal seperti pusat data dan pusat pengkomputeran mungkin terbengkalai. Harga perkakasan komputer seperti  GPU, RAM dan storan turun mendadakl akbita lambakan perkakasan yang tidak terjual dan terpakai

Pelabur dan syarikat kecil yang bergantung pada pengembangan AI untuk pembiayaan berpotensi gulung tikar apabila tiada lagi sokongan dana.

Kesimpulan

Sejak OpenAI memulakan perlumbaan AI ini selepas memperkenalkan ChatGPT pada tahun 2022, kebimbangan terhadap gelembung AI bukanlah berdasarkan rasa skeptikal semata.

Pelaburan dan penilaian yang kini  berada pada tahap sangat tinggi, kadang tanpa asas kuat amat dibimbangi.

“Saya tidak ragu bahawa akan ada teknologi AI yang akan muncul dalam sepuluh tahun akan datang yang akan menambah nilai sebenar dan meningkatkan produktiviti, tetapi banyak daripada apa yang kita dengar daripada industri sekarang adalah keterlaluan,” Daron Acemoglu, seorang ahli ekonomi di MIT, yang juga pemenang Hadiah Nobel dalam Sains Ekonomi 2024.

Namun, sama ada gelembung ini meletus atau kita sedang saksikan revolusi besar, ia bergantung kepada bagaimana syarikat, pelabur dan masyarakat kawal ekspektasi, fokus pada nilai sebenar, dan pembinaan asas jangka panjang.

Semoga kita tidak mengalami kehancuran seperti gelembung dot-com dulu, tetapi sebaliknya lahir era baru teknologi dan produktiviti seperti yang dikatakan.

AI bukan sekadar trend, ia boleh jadi pelaburan masa depan dan menjadi revolusi yang benar-benar bertahan lama.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress