Sekarang, dengan QR DuitNow, kita tidak perlu lagi mengimbas kod QR yang berbeza ketika melakukan pembayaran di premis. Bahkan, warung kecil di tepi jalan juga sudah mula memaparkan kod QR DuitNow. Ini sememangnya memudahkan rakyat Malaysia dalam membudayakan transaksi tanpa tunai.
Kalau di Malaysia kita boleh berbangga dengan DuitNow, di Indonesia pula rakyat mereka menikmati perkara yang sama yang dijenamakan sebagai QRIS (Quick Response Code Indonesian Standard).
Hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) telah melancarkan jalinan pembayaran QR rentas sempadan. Kerjasama ini kelak membolehkan pembayaran rentas sempadan antara Malaysia dengan Indonesia.
Melalui jalinan ini, pengguna di kedua-dua negara boleh membuat pembayaran runcit dengan mengimbas kod QR DuitNow atau QRIS (Quick Response Code Indonesian Standard) yang dipaparkan oleh peniaga di premis dan secara dalam talian.
Fasa rintis (pilot phase) untuk fungsi ini bermula hari ini dan pelancaran komersialnya pada umum akan dilangsungkan pada suku ketiga tahun ini. Bukan itu sahaja, jalinan ini juga akan diperluas pada masa hadapan bagi menyokong aktiviti kiriman wang rentas sempadan iaitu pengguna di kedua-dua negara boleh membuat pindahan dana secara masa nyata dengan mudah.
Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Asosiasi Sistem Pembayaran Indonesia (ASPI) dan RAJA (Rintis, Artajasa, Jalin and Alto) selaku pengendali sistem pembayaran; CIMB Bank Berhad, Bank Mandiri dan Bank Negara Indonesia sebagai bank penyelesaian.
Diharap penglibatan CIMB Bank dalam kerjasama ini hanya akan menambah manfaat kepada pengguna serta hubungan ekonomi digital antara Malaysia dan Indonesia terutamanya ketika kedua-duanya sedang melaksanakan pemulihan ekonomi.
Sejak Jun lalu, jalinan pembayaran QR rentas negara telah pun dijalankan bersama Thailand melalui Bank of Thailand namun hanya tersedia untuk pengguna Public Bank di Malaysia. Untuk mengetahui senarai bank dan e-dompet di Malaysia yang menyokong QR DuitNow, anda boleh baca di SINI.
Sumber: Bank Negara Malaysia
Baca juga: