DJI melancarkan stesen kuasa terbaharunya, DJI Power Auro 2000 Elite, yang menawarkan kapasiti 2kWh dan output kuasa stabil sehingga 2,000W di Malaysia.
Peranti ini mempunyai saiz 24% lebih kecil dan 14% lebih ringan (berat 19kg) berbanding DJI Power 2000, memudahkannya disimpan dan dibawa untuk kegunaan luaran mahupun bekalan kuasa sandaran di rumah.
Stesen kuasa ini menampilkan reka bentuk All-in-One pertama DJI yang mengintegrasikan pengecas kereta, modul solar MPPT, kabel retractable 140W, dan dua port SDC pintar.

DJI Power Auro 2000 Elite menyokong lima kaedah pengecasan semula:
- Menyokong input kuasa sehingga 2,000W yang membolehkannya dicas dari 0% hingga 80% dalam masa hanya 60 minit.
- Pengecas kereta terbina dalam boleh disambungkan terus kepada bateri kereta untuk mengecas DJI Power Auro 2000 Elite ini sehingga penuh dalam masa kira-kira 4 jam.
- Modul MPPT terbina dalam membolehkan stesen kuasa ini disambungkan terus kepada panel solar. Dengan penggunaan kedua-dua port SDC, input kuasa solar boleh mencapai sehingga 1,200W, membolehkan pengecasan penuh dalam kira-kira 2.7 jam sahaja.
- Menyokong pengecasan serentak melalui panel solar dan bateri kereta, dengan input kuasa sehingga 600W bagi setiap sumber.
- Menggabungkan kuasa daripada soket elektrik dengan input solar atau bateri kereta, dengan jumlah input kuasa sehingga 2,000W.
Malah, kapasiti DJI Power Auro 2000 Elite ini juga boleh dikembangkan sehingga 12kWh dengan bateri tambahan pada masa hadapan.
Dari segi keselamatan, unit ini dilengkapi sel bateri LFP berdaya tahan tinggi (sehingga 6,000 kitaran) atau bersamaan kira-kira 10 tahun penggunaan harian, Sistem Pengurusan Bateri Pintar (BMS) dengan 13 penderia suhu, serta perumah bertaraf 5VB kalis api yang mampu menampung beban statik 1 tan.
DJI Power Auro 2000 Elite kini boleh didapati pada harga RM6,509 menerusi pengedar sah DJI di Malaysia.
