Google baru sahaja mengacah peminatnya dengan telefon pintar baharu yang akan dilancarkan nanti, iaitu Pixel 6 dan Pixel 6 Pro. Tumpuan utama terhadap peranti tersebut semestinya cip pemproses tersendiri yang dinamakan Google Tensor.
Dengan ini, Google secara perlahan meninggalkan Qualcomm untuk barisan telefon pintar baharunya nanti dan mungkin ini baru sahaja permulaan. Strategi tersebut ibarat Apple menggunakan cip Apple Silicon pada komputer Mac menerusi Apple M1.
Selain itu, cip pemprosesan baharu itu bukan sahaja bakal menawarkan prestasi yang lebih baik buat telefon pintarnya, mereka juga kini akan bersaing secara terus dengan Apple dan Samsung dalam kategori telefon berkelas andalan.
Tambahan lagi, ketua perkakas Google – Rick Osterloh turut menyatakan cip pemproses tersebut akan memberi perubahan pada telefon pintar dari segi pembelajaran mesin dan AI. Malah, pemprosesan imej untuk fotografi selepas ini akan jadi lebih baik.
Dalam pada itu, Tensor juga akan memberikan manfaat pada Smart Glasses dimana kaca mata pintar yang menggunakan AR amat memerlukan teknologi pembelajaran mesin (machine learning).
Jika anda tidak tahu apa kesinambungan AR dengan telefon pintar, teknologi LiDAR di iPhone 12 Pro itu merupakan salah satu contoh yang hampir. Ia mampu mengecam persekitaran penggunanya dengan cemerlang disamping meningkatkan prestasi AR.
Oleh yang demikian, penggunaan aplikasi Google Lens selepas ini mungkin menawarkan sesuatu yang lebih menarik untuk kita lihat pada masa hadapan.
Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan maklumat lebih lanjut tentang cip pemproses Google Tensor dalam masa terdekat dimana Pixel 6 dan Pixel 6 Pro dijangka tiba sekitar Oktober tahun ini.
Baca juga artikel berkaitan:
- Peranti Android Terdahulu Tidak Lagi Boleh Menggunakan Aplikasi Dan Servis Google
- Akhirnya 2 Ciri Yang Amat Ditunggu-Tunggu Peminat iPhone Bakal Tiba Tidak Lama Lagi
- Murah Dan Tiada Iklan, YouTube Akan Tawar Langganan ‘Premium Lite’