CES 2017: Pengecasan Tanpa Wayar Bakal Jadi Realiti

Beberapa tahun kebelakangan ini banyak kita lihat teknologi yang dicipta berasaskan tanpa wayar atau wireless. Dari sambungan internet hinggalah kepada fon telinga. Tetapi peranti yang dikatakan wireless itu masih perlu disambungkan kepada pengecas untuk mengecas kuasanya semula. Dan perkara ini dijangkakan turut berubah dalam beberapa tahun lagi.

Pada acara CES yang berlangsung minggu lepas, Dell telah memperkenalkan Latitude 7285, sebuah laptop dengan ciri pengecasan tanpa wayar pertama di dunia. Ford juga tidak ketinggalan dengan pengumuman ujian yang sedang dijalankan mengenai pengecasan tanpa wayar untuk kenderaan. Syarikat-syarikat gergasi ini kelihatan berlumba-lumba untuk menyediakan pengecasan tanpa wayar untuk setiap produk masa hadapan mereka.

Sebuah syarikat yang berusia 4 tahun, Enorgous, mempunyai sebuah teknologi menarik yang dipertontonkan pada acara CES yang lepas. Sistem pengecasan tanpa wayar WattUp, merupakan satu teknologi pengecasan yang menggunakan frekuensi radio dan memancarkan kuasa kearah peranti.

Terdapat 6 buah syarikat yang mempamerkan peranti dilengkapi dengan teknologi WattUp ini. Dari pengesan Bluetooth hinggalah ke alat bantuan pendengaran, objektif utama teknologi WattUp dibangunkan adalah untuk membolehkan anda bergerak bebas walaupun sedang mengecas peranti.

Enorgous memberitahu teknologi itu mampu mengecas peranti sejauh 15 kaki (4.6m). Walaupunbegitu, ia hanya menyalurkan kuasa sekitar 700 mAh kemana-mana port mikroUSB. Tinggi sedikit jika hendak dibandingkan dengan kuasa yang disalurkan ketika anda mengecas melalui kabel USB yang disambung ke komputer.

Walaupun 700 mAh tidak mencukupi untuk mengecas peranti bersaiz besar, tetapi ia sangat berguna kepada peranti mudah alih serta alatan IOT bersaiz kecil yang sebelum ini dicas menggunakan kabel yang berserabut ataupun bateri yang perlu ditukar.

Menurut ketua eksekutif Energous, Steve Rizzone, syarikat itu telah menandatangani satu perjanjian dengan "salah satu syarikat elektronik pengguna terbesar di dunia" tetapi ia tidak didedahkan kepada umum. Beliau turut menambah teknologi pengecasan tanpa wayar WattUp sedang menjalani "Ujian Pematuhan Apple"menunjukkan bahawa ia mungkin telah menandatangani perjanjian dengan syarikat yang berpangkalan di Cupertino itu.

Teknologi tanpa wayar sebenarnya masih berada di peringkat awal, tetapi CES 2017 telah meletakkan teknologi itu ke satu tahap yang lebih tinggi. Selain itu syarikat-syarikat pengeluar alatan elektronik juga memainkan peranan penting dalam merealisasikan teknologi ini ke dunia sebenar dengan menghasilkan peranti yang canggih.

Sumber: Toptechnews, Enorgous.com