Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Green natural waterfall photo collage

Cara Dapat Langganan AI Percuma 3 Bulan Melalui Program AI Untuk Rakyat

Diterbitkan November 5, 2026 oleh srhhazirah

Rakyat Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun boleh mendapatkan langganan percuma selama tiga bulan kepada aplikasi AI terpilih melalui Program AI Untuk Rakyat. Syaratnya, peserta perlu melengkapkan dan lulus enam modul pembelajaran di portal Rakyat Digital.

Program di bawah Kementerian Digital yang dikendalikan MyDIGITAL Corporation ini dibuka sejak 31 Ogos 2026, dengan sasaran 100,000 belia sehingga 2027.

Sebagai permulaan, antara alat AI yang ditawarkan kepada peserta yang layak ialah IlmuChat oleh YTL AI Labs, Wonderclip dan MuleRun oleh Alibaba serta Gemini Enterprise oleh Google.

Rakyat Digital merupakan portal pembelajaran digital negara yang menyediakan kursus percuma merangkumi literasi digital, keselamatan siber, AI dan kemahiran teknologi lain. Kursus boleh diikuti secara dalam talian mengikut masa masing-masing, bermula daripada peringkat asas sehingga yang lebih praktikal.

Berikut ialah enam modul yang perlu dilengkapkan.

AI Nation 2030: Pendekatan Madani

Screenshot 2026-11-03 114739

Modul ini memperkenalkan hala tuju Malaysia untuk menjadi negara AI menjelang 2030, termasuk peranan AI dalam pembangunan negara dan dalam meningkatkan kecekapan pelbagai sektor.

Modul ini juga menekankan penerapan nilai MADANI dalam penggunaan teknologi, supaya kemajuan AI bukan sahaja tertumpu kepada inovasi tetapi turut mengambil kira kepentingan masyarakat, etika dan tanggungjawab.

CYBERSAFE untuk Rakyat

Screenshot 2026-11-03 121734

Modul ini memberi tumpuan kepada keselamatan siber dan cara melindungi diri ketika menggunakan internet. Ancaman yang dibincangkan termasuk penipuan dalam talian, kecurian identiti, pencerobohan akaun dan penyalahgunaan maklumat peribadi.

Peserta akan mempelajari langkah untuk mengenal pasti ancaman siber, antaranya menggunakan kata laluan yang kukuh, mengaktifkan pengesahan keselamatan akaun dan berhati-hati dengan pautan atau mesej yang mencurigakan.

AI Generatif

Screenshot 2026-11-03 121756

Modul ini menerangkan konsep AI generatif, iaitu teknologi yang boleh menghasilkan kandungan baharu seperti teks, imej, audio dan video berdasarkan arahan pengguna. Antara contoh aplikasi yang biasa digunakan ialah ChatGPT dan Gemini.

Peserta akan mempelajari cara AI generatif berfungsi serta teknik memberikan arahan (prompt) yang tepat supaya hasilnya lebih sesuai dengan keperluan.

Kemahiran ini boleh digunakan untuk menyiapkan tugasan, menjana idea, menyusun maklumat dan membantu urusan harian. Bagaimanapun, pengguna tetap perlu menyemak ketepatan maklumat kerana jawapan AI tidak semestinya betul.

Keselamatan AI (AI Safety)

Screenshot 2026-11-03 121704

Modul ini memfokuskan penggunaan AI secara selamat dan bertanggungjawab. Antara risiko yang dibincangkan ialah penyebaran maklumat palsu, kandungan manipulasi digital, jawapan AI yang tidak tepat dan penyalahgunaan teknologi untuk merugikan orang lain.

Peserta juga akan belajar menilai kandungan yang dihasilkan AI dan mengenal pasti risikonya sebelum menggunakan atau menyebarkan kandungan tersebut.

Agentik AI untuk Semua (Agentic AI for All)

Screenshot 2026-11-03 121639

Modul ini memperkenalkan Agentik AI, iaitu sistem AI yang bukan sahaja menjawab arahan pengguna, malah boleh merancang dan melaksanakan beberapa langkah untuk mencapai sesuatu matlamat.

AI generatif kebanyakannya menghasilkan kandungan. Agentik AI pula boleh membantu merancang tugasan, mencari maklumat, menyusun langkah kerja dan melaksanakan tindakan tertentu berdasarkan arahan pengguna serta keupayaan sistem.

Melalui pembelajaran ini, peserta dapat memahami perkembangan teknologi AI daripada sistem yang memberikan respons kepada sistem yang mampu membantu melaksanakan tugasan dengan lebih berdikari. Pengetahuan tersebut boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti dalam pembelajaran, pekerjaan dan pengurusan aktiviti harian.

Cloud untuk Rakyat (Cloud for the People)

Screenshot 2026-11-03 121722

Modul ini memberi pendedahan tentang pengkomputeran awan (cloud computing), iaitu teknologi yang membolehkan pengguna menyimpan, mengakses dan mengurus data serta menggunakan aplikasi melalui internet tanpa bergantung sepenuhnya pada storan peranti sendiri.

Antara perkhidmatan yang menggunakan teknologi ini ialah Google Drive, Microsoft OneDrive dan Dropbox, yang membolehkan pengguna menyimpan dokumen, berkongsi fail dan mengakses maklumat daripada pelbagai peranti.

Modul ini turut menyentuh aspek keselamatan ketika menggunakan perkhidmatan awan dalam kehidupan seharian.

Cara Mendaftar

Pendaftaran boleh dibuat melalui portal rasmi Rakyat Digital di rakyatdigital.gov.my. Video pembelajaran boleh diakses dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Langganan percuma hanya diberikan kepada peserta yang lulus kesemua enam modul. Mendaftar sahaja tidak mencukupi. Penyertaan juga tertakluk kepada syarat kelayakan dan ketersediaan tempat, memandangkan program ini terhad kepada 100,000 peserta.

Selain program ini, Rakyat Digital turut menawarkan akses percuma selama tiga bulan kepada lebih 16,000 kursus Coursera melalui Pas Pembelajaran Global.

Berkaitan

  • Cara Batalkan Sijil MyDigital ID
  • Cara Dapatkan Spotify Pelajar

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • ChatGPT Images 2.6 Kini Tersedia - Sokong GIF, Janaan Imej 50% Lebih Pantas
  • Kadar Pertumbuhan Syarikat Perlahan, Canva Umum Buang 1,271 Pekerja
  • MyCERT Saran Pengguna iPhone Kemas Kini iOS 27.2 Dengan Segera
  • Microsoft Mohon Paten AI Yang Boleh Ubah Ucapan Dan Gerak Bibir Dalam Video 'Live'
  • Ubat Susulan Boleh Dihantar Ke Rumah, Ini Cara Mohon Melalui MyUBAT
  • Malaysia Tingkatkan Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara Daripada Rendah Kepada Sederhana
  • Google Umum Pelaburan AS$15 Bilion Di Malaysia, Sasar 9,000 Pekerjaan Dengan Gaji Lebih Tinggi
©2026 WISER.MY