Bayar Cukai Sehingga $11 Bilion, Ini 5 Orang Terkaya Di Dunia

Orang-orang kaya mesti datang daripada golongan yang berpengaruh sama ada dari aspek politik, sosial atau ekonomi. Mereka yang mempunyai kekayaan ini biasanya mempunyai perniagaan atau inovasi sendiri yang berjaya sehingga ada yang menjadi orang terkaya di dunia. Tentunya mereka ini juga dikagumi dan menjadi inspirasi kepada orang ramai.

Jadi, jom kita lihat 5 orang terkaya di dunia tahun 2021. Kita lihat dari tempat ke-5 dahulu dengan nama yang kurang diketahui ramai iaitu Larry Page.

5. Larry Page


Kapsyen: Kredit Gambar : Business Insider


Larry Page telah disenaraikan sebagai orang ke-5 terkaya di dunia dengan nilai bersih sebanyak  $131 bilion. Nama sebenar beliau ialah Lawrence Edward Page dan telah dilahirkan pada 26 March 1973 di Lansing, Michigan.

Beliau merupakan pengasas kepada 'Google' yang sering kita akses di internet untuk mencari sebarang informasi yang tidak diketahui. Selain itu, Larry juga merupakan pelabur utama Planetary Resources iaitu syarikat penerokaan angkasa lepas dan perlombongan asteroid. Beliau juga melabur dalam syarikat Kitty Hawk dan Opener yang mencipta kereta terbang.

Kekayaan beliau disebabkan oleh usaha beliau bersama rakannya iaitu Sergey Brin yang pada awalnya mencipta satu teknologi enjin carian yang dinamakan 'Backrub'. Pada tahun 1998, Larry Page dan Sergey Brin mula mengasaskan 'Google' yang kita kenali sekarang sebagai salah satu teknologi enjin carian terbesar di dunia.

Pada awalnya, Google Inc berpusat di Menlo Park tetapi seiring dengan perkembangannya, syarikat Google Inc telah berpindah ke Mountain View, California. Google Inc dikatakan agak susah untuk berkembang pada awal penubuhannya kerana bergantung dengan keperluan penggunaan internet dunia tetapi kini, internet telah menjadi salah satu perkara yang penting di seluruh dunia.

Oleh sebab itu, syarikat tersebut terus berkembang maju sehingga sekarang. Google juga menjadi anak syarikat kepada Alphabet dengan Larry Page pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif selama 5 tahun iaitu dari tahun 2015 hingga tahun 2019. Saham Google terus meningkat lebih 70% pada tahun lepas yang menyebabkan beliau menjadi orang ke-5 terkaya di dunia.

4. Bill Gates 


Orang terkaya di dunia Kapsyen: Kredit Gambar : The New York Times


Bill Gates merupakan manusia ke-4 terkaya di dunia dengan nilai bersih sebanyak $137 bilion. Kalau sebut sahaja nama Bill Gates mesti hampir semua orang kenal kerana beliau merupakan pengasas perisian terkaya di dunia.

Bill Gates atau nama sebenarnya ialah William Henry 'Bill' Gates III dilahirkan pada 28 Oktober 1955 di Seattle, Washington, Amerika Syarikat. Beliau merupakan ahli perniagaan yang terkenal kerana mengasaskan perisian Microsoft untuk dunia. Beliau sanggup menangguhkan pelajarannya di Universiti Harvard demi kepentingan perniagaannya bersama Paul Allen. Microsoft BASIC menjadi perisian yang mempunyai ramai penggemar dan diberikan secara meluas kepada komuniti seluruh dunia.

Apabila penciptaan Microsoft ini berjaya, Bill Gates telah membuat keputusan untuk berhenti belajar dan meneruskan perniagaannya. Microsoft juga mengeluarkan komputer, servis emel, penerbitan buku dan banyak lagi. Selain itu, Bill Gates juga banyak melakukan pelaburan hartanah.

Dahulu, Bill Gates merupakan orang ke-3 terkaya di dunia tetapi kerana penceraiannya bersama bekas isteri iaitu Melinda Gates, beliau telah jatuh satu anak tangga sebagai orang ke-4 terkaya di dunia.

3. Bernard Arnault


Kapsyen: Kredit Gambar : CNBC


Nilai bersih Bernard Arnault, orang ke-3 terkaya di dunia ini pula berjumlah $170 bilion mengalahkan Bill Gates yang berada di tangga ke-4. Beliau merupakan pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat barangan mewah terbesar di dunia iaitu LVMH Moët Hennessy Louis Vuitton.

Nama sebenar Bernard Arnault ialah Bernard Jean Étienne Arnault dilahirkan pada 5 March 1949 di Roubaix, France. Beliau memulakan kerjayanya dengan bekerja di perusahaan milik ayah beliau iaitu Ferret-Savinel. Syarikat barangan mewah beliau memiliki pelbagai jenama besar yang popular seperti Louis Vuitton (LV), Hennessey, Marc Jacobs dan Sephora namun kekayaan beliau kebanyakannya diperoleh daripada pegangan saham besar dalam syarikat Christian Dior SE (41.2% LVMH).

Di samping itu, Bernard Arnault juga mempunyai ekuiti dalam syarikat Carrefour yang bernilai $749 juta dan beberapa syarikat besar yang lain.

2. Jeff Bezos 


Orang terkaya di dunia Kapsyen: Kredit Gambar : Bank info Security


Jeff Bezos kini berada di tangga ke-2 dengan nilai bersih sebanyak $202 bilion dalam top 5 orang terkaya di dunia. Jeff Bezos atau Jeffrey Preston Bezos dilahirkan pada 12 Januari 1964 di Alburquerque, New Mexico, Amerika Syarikat. Beliau merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Amazon, pengasas Blue Origin dan Bezos Expeditions.

Kejayaan Amazon telah menyebabkan beliau menjadi orang ke-2 terkaya di dunia. Pada awalnya, Jeff Bezos mencipta Amazon untuk menjual buku secara dalam talian tapi kini ia menjadi one stop online hub terbesar di dunia yang menjual pelbagai jenis barangan dari seluruh dunia.

Beliau pernah bekerja di syarikat David E. Shaw dan berhenti apabila cadangannya untuk membina satu kedai buku secara dalam talian ditolak oleh David E. Shaw. Maka, bermulalah perjalanan beliau dengan penciptaan Amazon.

Harga saham Amazon mula meningkat setelah pandemik COVID-19 berlaku pada tahun 2020. Hal ini demikian kerana, kebanyakan orang menggunakan platform Amazon untuk membeli dan menjual barangan, oleh sebab itu harga saham Amazon meningkat sehingga 76%.

1. Elon Musk 


Orang terkaya di dunia Kapsyen: Kredit Gambar : The Verge


Nama Elon Musk sudah tidak asing lagi di seluruh dunia kerana penghasilan kereta elektrik jenama Tesla. Tapi tahukah anda, sebenarnya Elon Musk juga mempunyai banyak lagi syarikat selain Tesla? Ya, Elon Musk iaitu orang terkaya di dunia dengan nilai kekayaan bersih sebanyak $278 bilion juga mempunyai syarikat lain seperti laman web bernama Zip2, PayPal dan syarikat Teknologi Penerokaan Angkasa Lepas iaitu SpaceX.

Beliau juga telah mengasaskan syarikat Neuralink dan The Boring Company. Neuralink merupakan syarikat yang sedang membangunkan satu sistem yang akan menghubungkan teknologi dengan otak manusia. Usaha ini dipercayai akan dapat membantu orang lumpuh supaya dapat mengawal otak mereka untuk melakukan pergerakan melalui mesin Neuralink.

Zip2 pula merupakan syarikat yang mempunyai konsep yang sama seperti Yellow Pages tetapi versi dalam talian. Ia merupakan Rangkaian Maklumat Pautan Global yang menyediakan panduan perniagaan.

Pada tahun 2004, Elon Musk telah mengasaskan syarikat kenderaan elektrik jenama Tesla dan semakin terkenal sehingga ke hari ini. Bulan Oktober 2021, nilai saham Tesla telah meningkat lebih daripada $1 trilion. Hal ini demikian kerana, syarikat kereta sewa, Hertz telah memesan 100,000 unit kereta Tesla untuk syarikatnya. Oleh sebab itu, Elon Musk mampu memperoleh $36 bilion dalam masa sehari.

Bayangkan, bayaran cukainya sahaja pada tahun 2021 sejumlah $11 bilion. Patutlah Elon Musk kini menjadi orang terkaya di dunia.

Baca juga :

Berkaitan