Beberapa hari yang lalu, Asus telah memperkenalkan dua telefon baharu mereka – Zenfone 8 dan Zenfone 8 Flip. Kedua-duanya mempunyai ciri dan keunikan yang tersendiri.
Asus Zenfone 8
Siri Zenfone sebenarnya sudah mencapai 7 tahun usianya sejak pertama kali diumumkan pada tahun 2014. Apa yang menariknya kali ini, Asus menawarkan telefon berkelas andalan (flagship) tetapi dengan rekaan yang kompak.
Ini kerana, kebanyakan peranti yang berstatus andalan tampil dengan saiz yang besar. Zenfone 8 direka dengan saiz yang seakan iPhone 12 dan lebih kecil daripada Sony Xperia 5 III.
Walaupun kecil, dalamnya ibarat peranti yang besar kerana dijana Snapdragon 888 yang menjalankan sistem operasi Android 11 dengan ZenUI 8.
Dilengkapi skrin berukuran 5.9 inci yang menggunakan paparan AMOLED E4 Samsung beresolusi 1080p dan nisbah 20:9. Ditambah lagi dengan perlindungan Gorilla Glass Victus dan penarafan IP68 kalis air serta debu.
Selain itu, kadar penyegarannya adalah 120Hz dan mempunyai HDR10+, gamut warna 112% DCI-P3, kecerahan sehingga 1100 nits dan hadir dengan pengimbas cap jari pada skrin.
Pada bahagian belakang, terdapat dua tetapan kamera yang mana 64MP utama dengan menggunakan sensor Sony IMX 686. Sementara kamera ultra lebar sebesar 12MP yang menggunakan Sony IMX 363.
Manakala kamera hadapan pula adalah 12MP (IMX 663) dan mampu merakam video pada resolusi 4K.
Tidak terhenti di situ, peranti juga memberikan bicu audio (headphone jack) 3.5mm, pembesar suara Cirrus Logic mono dan menyokong Dirac HD Sound.
Bateri dimuatkan 4000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 30W HyperCharge.
Tambahan lagi, storan dalaman adalah 128GB atau 256GB yang mana terdapat memori dari 6GB RAM hingga 16GB RAM.
Asus Zenfone 8 sudah pun tersedia buat pasaran Eropah dengan tanda harga €599 (~RM3000).
Asus Zenfone 8 Flip
Asus Zenfone 8 Flip masih lagi mengekalkan identitinya, iaitu kamera dengan mekanisme lipat untuk kegunaan kamera hadapan atau belakang.
Dilengkapi 3 tetapan kamera, sensor yang digunakan juga sama yang terdapat pada Zenfone 8 tetapi kamera utamanya kehilangan fungsi OIS.
Di dalamnya, turut sama yang hadir pada Zenfone 8. Cip Snapdragon 888, 8GB RAM dengan storan 128GB atau 256GB UFS 3.1 dan sokongan slot kad mikroSD.
Skrinnya lebih besar, berukuran 6.67 inci AMOLED dengan nisbah 20:9 dan sokongan kadar segar semula 90Hz. Malah, ia sudah mempunyai imbasan cap jari pada skrin.
Selain itu, Zenfone 8 Flip dilengkapi pembesar suara stereo yang mempunyai penarafan Hi-Res Audio dan ditala Dirac Research, iaitu sama seperti peranti ROG.
Bateri diberikan sebesar 5000mAh dengan pengecasan pantas 30W, ia dijual dengan harga bermula €799 (~RM4000) buat pasaran Eropah.
Jika anda tertanya-tanya sama ada ia ditawarkan di Malaysia atau tidak, Asus mengatakan telefon baharu ini akan dilancarkan buat pasaran tempatan pada penghujung Mei ini.
Foto utama: Asus