ASUS Republic of Gamers (ROG) kini mengumumkan konsol mudah alih terbaru mereka, ROG Ally X. Peranti ini menampilkan pemprosesan AMD Ryzen Z1 Extreme yang sama seperti ROG Ally. Namun, ia menerima naik taraf dari segi RAM, storan dalaman, kapasiti bateri, sambungan dan juga sistem penyejukan.
{suggest}
ROG Ally X hadir dengan memori 24GB LPDDR5X pada kadar 7500MHz dwi saluran dan storan dalaman sehingga 1 TB M.2 2280 NVMe PCIe G4x4 SSD.
Untuk port, peranti ini mempunyai 1x bicu audio, 1x pembaca kad Mikro SD (UHS-II, 312MB/s), 1x USB-C yang menyokong USB 3.2 Gen 2 (DisplayPort 1.4 dengan FreeSync, PD 3.0), 1x USB4 (Thunderbolt 4, DisplayPort 1.4 dengan FreeSync, PD 3.0) dan juga 2 pembesar suara dengan teknologi Smart Amplifier, Dolby Atmos, pembatalan hingar AI, mikrofon terbina serta penarafan audio Hi-Res.
Kapasiti bateri juga dipertingkatkan kepada 80Wh untuk memberi jangka hayat bermain lebih lama. Kelajuan mengecas pula adalah 65W dengan pengecas USB-C.
Seiring dengan kapasiti bateri lebih besar, ROG Ally X menampilkan kipas baharu yang 23% lebih kecil tetapi aliran udara masih lagi dipertingkatkan untuk menyejukkan peranti.
Selain itu, casis peranti ditawarkan dalam warna hitam baharu dan juga lebih bulat untuk memberikan keselesaan kepada pengguna. Butang danĀ stick analog juga disusun pada sudut yang lebih optimum dan lebih tahan lasak. Akhir sekali, butang makro kali ini lebih kecil. Sekali gus, kurang isu tertekan butang tersebut tanpa sengaja.
Buat masa sekarang, belum diketahui lagi harganya untuk pasaran tempatan. Namun, harga rasminya adalah $799 (~RM3760).
Sumber: Siaran Media ASUS ROG