Gergasi teknologi seperti Google, Amazon dan OpenAI kini memperkenalkan pembantu beli-belah maya berasaskan AI yang bukan saja kenal cita rasa pengguna, tetapi juga boleh mencari diskaun terbaik, mencuba pakaian secara maya dan buat pembelian automatik.
Trend ini lahir daripada kemajuan AI generatif yang dimanfaatkan dalam bentuk ‘agent’ digital, iaitu sistem pintar yang boleh menjalankan tugasan kompleks tanpa campur tangan manusia.
Google, contohnya, baru-baru ini memperkenalkan “AI Mode” yang membolehkan pengguna gabungkan gambar mereka dengan imej pakaian dari internet, dan AI akan tunjukkan bagaimana rupa pakaian itu di badan pengguna. Malah, pengguna boleh tetapkan bajet dan biarkan AI cari tawaran terbaik di internet. Bila jumpa, AI akan beri notifikasi dan boleh terus buat pembelian melalui sistem pembayaran Google.
OpenAI pula telah menambah fungsi beli-belah ke dalam ChatGPT, membolehkan bot sembang beri cadangan produk, ulasan pengguna dan pautan ke laman web peruncit.
Amazon tidak ketinggalan dengan ciri “Buy for Me” melalui pembantu digital Rufus, manakala Walmart turut membangunkan ejen AI sendiri.
Syarikat pembayaran seperti Visa dan Mastercard juga sudah menyesuaikan sistem mereka untuk membolehkan ejen AI buat transaksi pembelian tanpa kehadiran manusia.
Apa yang penting sekarang, kata penganalisis, ialah bagaimana jenama dan peruncit menyesuaikan strategi mereka untuk menarik perhatian “pembeli” AI ini. Cabarannya adalah, AI tidak membuat keputusan seperti manusia dan alasan sesuatu produk dipilih mungkin tidak jelas kepada peniaga.
Walaupun penggunaan AI dalam e-dagang dijangka meningkat, penganalisis tidak melihat ia akan mengubah industri secara drastik dalam masa terdekat. Namun, syarikat seperti Google dan Meta mempunyai kelebihan besar kerana akses data pengguna yang luas serta kepakaran AI yang mendalam.
Isu privasi kini menjadi perhatian utama. Google mendakwa akan meminta kebenaran sebelum mengakses maklumat peribadi tambahan pengguna seperti emel dan aplikasi.
Namun begitu, kebolehan AI untuk membuat keputusan pembelian secara bebas menimbulkan persoalan etika dan kepercayaan. Masa depan e-dagang, menurut pakar, bergantung kepada sejauh mana pengguna sanggup menyerahkan kuasa membeli kepada mesin.
{suggest}