Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

5 Teknologi Audio Qualcomm AptX Yang Perlu Anda Tahu

Posted on Februari 6, 2026Februari 6, 2026

Qualcomm telah memperkenalkan Snapdragon Sound™ dengan teknologi codec audio aptX™ lossless untuk memberikan pengalaman mendengar muzik, panggilan dan permainan dengan bunyi premium menerusi sambungan tanpa wayar Bluetooth.

Teknologi ini berfungsi dengan mengecilkan saiz fail audio tanpa menjejaskan kualiti, kemudian menghantarnya melalui sambungan tanpa wayar.

Semasa dimainkan semula, audio akan dinyahmampat dengan kelewatan minimum, menghasilkan bunyi setara dengan kualiti berwayar tetapi lebih mudah dan bebas kabel.

Dalam ekosistem Snapdragon Sound™, aptX hadir dalam beberapa variasi.

AptX Classic

Codec yang memulakan semuanya, aptX Classic (atau ringkasnya aptX) menawarkan dua penambahbaikan utama iaitu  kualiti audio yang lebih baik dan kependaman yang lebih rendah.

AptX juga mempunyai kependaman yang lebih rendah daripada AAC dan ramai yang berpendapat bahawa kualiti audio aptX mengatasi AAC, terutamanya pada peranti Android.  Namun, seperti SBC dan AAC, aptX adalah lossy dan terhad kepada sumber audio 16-bit.

AptX HD

AptX HD menawarkan audio beresolusi tinggi sehingga 24-bit/48kHz.

Oleh kerana itu, aptX HD kadangkala dianggap sebagai codec beresolusi tinggi, tetapi memandangkan ia juga menggunakan pemampatan lossy, tidak semua orang bersetuju mengenai perkara ini.

AptX LL (Low Latency)

Seperti namanya, ini adalah versi aptX yang direka untuk meminimumkan masa antara audio dijana dari peranti ke fon kepala tanpa wayar anda dengan latensi serendah 38 milisaat.

AptX Adaptive

AptX Adaptive pula direka untuk menyesuaikan kadar bit secara automatik, mengurangkan kependaman agar bunyi seiring dengan visual, sangat berguna untuk permainan video dan penstriman.

Ini ialah codec utama Qualcomm dengan kecerdasan untuk mengetahui bila ia perlu fokus pada kependaman rendah, atau bila perlu menghantar lebih banyak data dengan sokongan audio beresolusi tinggi sehingga 24-bit/96kHz.

Walaupun secara teknikalnya masih merupakan codec lossy, ia boleh menyesuaikan kadar bitnya agar sepadan dengan kualiti pautan Bluetooth anda, menawarkan lebih banyak kualiti audio apabila boleh, sambil pada masa yang sama mengelakkan putus sambungan apabila keadaan menjadi tidak menentu.

AptX Lossless

Yang paling canggih adalah aptX Lossless di mana menurut Qualcomm ia mampu menghantar audio berkualiti CD (16-bit/44.1kHz) tanpa kehilangan data, menjadikan fon telinga tanpa wayar setanding dengan pengalaman audio berwayar.

Walau bagaimanapun, ia memerlukan banyak lebar jalur – lebih daripada yang boleh disokong oleh sambungan Bluetooth biasa.

Oleh sebab itulah, aptX Lossless memerlukan cipset Qualcomm hadir dalam kedua-dua peranti – sumber (sebagai contoh telefon pintar) dan sasaran (fon kepala/telinga).

Beberapa telefon pintar terkini telah pun menyokong Snapdragon Sound ini, antaranya siri Xiaomi 17, vivo S50, REDMAGIC 11 Pro, Nubia Z80 Ultra, serta Redmi K90 Pro Max.

Siri Xiaomi 17 antara model telefon pintar Android yang menyokong Snapdragon Sound dengan aptX Lossless. Ini tidak menghairankan kerana Xiaomi dan Qualcomm telah menjalin kerjasama yang panjang.

Selain telefon pintar Android, barisan peranti audio fon kepala/telinga terkini juga turut menyokong teknologi Snapdragon Sound ini seperti Xiaomi Buds 6, Sennheiser HDB 630, Bowers & Wilkins Px8 S2, Bose QuietComfort Ultra Headphones (gen 2) dan siri beyerdynamic AVENTHO 100 dan 200.

Bose QuietComfort Ultra Headphones (2nd Gen) menyokong Snapdragon Sound dengan aptX Lossless.

AptX Lossless dianggap sebagai tambahan kepada aptX Adaptive, jadi mana-mana produk yang menyokong aptX Lossless secara automatik menyokong Adaptive.

Dengan senarai peranti yang semakin berkembang, pengguna boleh menikmati audio lebih jelas, mendalam dan lancar dengan teknologi bunyi Snapdragon ini

Walaupun buat masa ini terhad pada sebilangan peranti terpilih sahaja, Qualcomm menekankan bahawa senarai produk akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Snapdragon Sound dengan aptX merupakan revolusi audio mudah alih bagi menyampaikan pengalaman audio premium, tanpa kompromi dan tanpa kabel.

Tapi suka dinyatakan di sini bahawa teknologi aptX ini tidak ditawarkan pada barisan peranti Apple seperti iPhones dan iPads.

Ini termasuklah pada barisan fon kepala dan fon telinga AirPods, dan rangkaian Beatsnya. Ini kerana, Apple memilih untuk tidak melesenkan teknologi aptX Qualcomm.

Apple percaya bahawa AAC dan ALAC (Apple Lossless Audio Codec, yang tidak disokong oleh AirPods tanpa wayar) sudah cukup memberikan audio berkualiti tinggi  untuk semua produk audionya menerusi sambungan Bluetooth.

Jadi, walaupun fon kepala baharu anda (selain Apple) dengan bangganya menyatakan bahawa ia serasi dengan aptX Lossless, iPhone anda tidak akan membenarkan anda mendengar kualiti audio yang dipertingkatkan itu.

Maka, jika anda mahukan audio yang lebih berkualiti daripada iPhone, Apple menawarkan kualiti audio lossless melalui sambungan USB-C berwayar pada AirPods Max (generasi kedua), Beats Studio Pro dan Beats Solo 4.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress