Dengan harga langganan penstriman yang semakin meningkat, semakin ramai orang yang membatalkan langganan mereka kerana mereka ingin memiliki media mereka. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak mahu perhatian mereka terganggu oleh media sosial. Oleh sebab itu, peranti single-purpose seperti digital audio player semakin mendapat sambutan sejak kebelakangan ini.
Untuk pengetahuan anda, digital audio player atau pemain audio digital merupakan sejenis peranti yang berfungsi hanya untuk memainkan fail-fail audio seperti MP3, FLAC, dan M4A secara luar talian. Ada juga yang mampu memainkan fail video juga, tetapi majoriti hanya boleh memainkan fail audio.
Mungkin ada antara anda yang baru sahaja mula menyelam ke dalam dunia audio luar talian, bukan? Inilah tiga digital audio player yang boleh anda pertimbangkan sebagai permulaaan.
Innioasis Y2

Apabila melihat Innioasis Y2, satu perkara yang jelas adalah rupanya yang mirip Apple iPod Classic (dengan roda klik). Cuma, ia tidak meniru Apple iPod dari segi kualiti binaan kerana ia hanya diperbuat daripada plastik. Penggunaan bahan yang lebih murah ini membolehkan mereka meletakkan harganya serendah sekitar RM220.
Ini merupakan model generasi kedua yang menambah baik versi asalnya, Innioasis Y1, dengan menambah slot kad microSD luaran (sokong sehingga 2TB), butang volume fizikal, dan butang power. Jika dibandingkan dengan Apple iPod, ia kira lebih baik dari segi kawalan kerana Apple iPod tidak pernah ada butang volume fizikal dan butang power.
Dalam badannya yang kompak, ia dilengkapi dengan bateri berkapasiti 1,300mAh yang mampu bertahan sehingga 25 jam jika digunakan dalam mod berwayar untuk mendengar lagu sahaja. Ia boleh dicas semula melalui port USB-C. Kiranya ia lebih praktikal berbanding iPod lama.
Dari segi sokongan media, peranti kecil ini menyokong hampir kesemua format audio seperti MP3, AAC, WMA, OGG, FLAC, WAV, APE, dan DFF. Ia juga berupaya memainkan fail video seperti MP4, MKV, AVI, dan WMV.
Namun, pada sistem operasinya yang asal iaitu Android 4.4 (KitKat), port USB-C hanya boleh digunakan untuk fungsi OTG sahaja, dan ia tidak menyokong audio melalui port itu. Anda hanya boleh menggunakan 3.5mm headphone jack untuk mendengar lagu dalam mod berwayar.
Tambahan, biarpun ia dilengkapi cip audio DAC Cirrus Logic CS43131, sistem operasi yang lama ini yang menghalangnya daripada mencapai potensi sebenar.
Sebagai seorang pengguna peranti ini, saya boleh katakan bahawa kualiti bunyi dalam mod Bluetooth kurang memuaskan. Walaupun ia mempunyai Bluetooth versi 5.3, bunyinya agak fuzzy dan agak kurang jelas dari segi penghasilan bunyi instrumental dan vokal.
Tetapi, ada sebab mengapa ia mempunyai komuniti r/innioasis yang besar di Reddit. Sebab utamanya adalah anda boleh memasang atau flashing sistem operasi yang berbeza untuk mendapatkan UI yang berbeza mengikut cita rasa anda. Malah, seorang pengguna Reddit kini sedang membangunkan OS baharu khas untuk Y2 yang dinamakan ‘Y2Reborn’ untuk meningkatkan lagi kualiti bunyinya.
Jadi, jika anda seorang yang gemar bereksperimen, peranti ini sesuai untuk anda.
Harga Innioasis Y2 di Malaysia
HiBy R1

HiBy R1 pula tidak seperti Innioasis Y2 kerana rupanya seolah-olah sebuah telefon mini. Dengan skrin sentuh (touchscreen), harganya lebih mahal, iaitu sekitar RM379-399.
Peranti ini sesuai bagi mereka yang masih lagi memerlukan skrin sentuh untuk menavigasi melalui laman utama dan UI dengan lebih mudah. Kawalannya sepatutnya serupa dengan kawalan pada telefon pintar. Walaupun skrin sentuhan adalah kawalan utama, HiBy juga menyertakan butang volume fizikal dan butang power.
Berkaitan dengan power, peranti ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti 1,150mAh yang mampu bertahan sehingga 15 jam lagu dimainkan secara berterusan. Ia dicas melalui port USB-C, dan turut menyertakan slot kad microSD luaran yang menyokong kapasiti sehingga 2TB.
Dari segi sokongan fail media, ia menyokong format audio seperti MP3, AAC, FLAC, WAV, APE, sehinggalah fail DSD256.
Untuk sambungan audio, peranti ini juga mempunyai satu 3.5mm headphone jack. Satu persamaannya dengan Innioasis Y2 adalah cip DAC Cirrus Logic CS43131. Tetapi, bezanya dengan Innioasis adalah ia menggunakan sistem operasi HiByOS yang tidak mengganggu kualiti bunyi yang dihasilkan, sehinggakan komuniti audio menganggap HiBy R1 sebagai antara pemain audio bajet terbaik pada julat harganya.
Pada sambungan wayarles pula, Bluetooth versi 5.1 pada HiBy R1 menyokong codec resolusi tinggi seperti LDAC dan aptX bagi kualiti bunyi tanpa wayar yang jauh lebih mantap.
Jika Innioasis Y2 memerlukan anda untuk membuat sedikit pengubahsuaian perisian untuk mendapatkan hasil terbaik, HiBy R1 pula adalah pilihan paling selamat, moden, dan sedia digunakan tanpa memeningkan kepala.
FiiO SNOWSKY ECHO Mini

Nampak macam pemain kaset, bukan? Betapa uniknya FiiO Snowsky Echo Mini. Menariknya, ia dijual pada harga sekitar RM250 hingga RM280, menjadikannya alternatif yang solid juga.
Berbeza dengan HiBy R1, peranti ini tiada sokongan skrin sentuh. Ia hanya dilengkapi skrin kecil bersaiz 1.99 inci dan semua navigasi bergantung sepenuhnya kepada butang kawalan fizikal di bahagian tepi peranti. Kawalannya sedikit mirip pemain kaset.
Bagi bateri pula, peranti ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti 1,100mAh yang mampu bertahan sehingga 15 jam masa mainan muzik berterusan. Ia dicas melalui port USB-C dan turut menyertakan slot kad microSD yang mampu menyokong storan sehingga 256GB.
Ia juga menyokong pelbagai format audio seperti MP3, M4A, OGG, WMA, FLAC, WAV, APE, dan DSD.
Dari segi sambungan audio pula, ia dilengkapi dengan dua port audio berasingan: 3.5mm headphone jack, dan 4.4mm balanced jack. Kiranya agak sukar menjumpai sokongan port sebegini pada tanda harga bawah RM400.

Dari sudut prestasi bunyi, ia menawarkan kualiti audio yang paling padu berbanding pemain audio yang lain dalam senarai ini kerana ia dilengkapi dwi-cip Cirrus Logic CS43131 yang sepatutnya boleh menjalankan headphone yang lebih profesional dan power-hungry.
Jika anda mahukan estetika retro kaset dengan prestasi audio berwayar yang paling padu, FiiO Snowsky Echo Mini adalah calon yang patut dipertimbangkan.
Harga FiiO SNOWSKY ECHO MINI di Malaysia
Kini anda telah tahu pemain-pemain yang lebih proper. Jadi, elakkan membeli pemain MP3 yang murah-murah di Shopee.
