Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Pentingkah Logo ‘Hi-Res Audio’ Pada Produk Audio? Ini Penjelasannya

Posted on Julai 8, 2026

Banyak syarikat audio terkemuka seperti Sony, Anker soundcore, dan UGREEN yang memasarkan produk-produk audio mereka (earphone, headphone) dengan logo ‘Hi-Res Audio’.

Contoh-contohnya adalah seperti berikut:

Kotak EarFun Tune Pro. Dari GeekDad.
Kotak OnePlus Buds 4.
Kotak QCY H3 Pro. Dari Mighty Gadget.

Sering dipasarkan bahawa dengan adanya logo ini pada sesebuah produk audio, ia dapat memberikan anda jaminan bahawa anda akan mendapat kualiti audio yang terbaik.

Pastinya anda tertanya, “Apakah itu Hi-Res Audio?”, dan “Adakah ia penting?”.

Apakah itu Hi-Res Audio?

Hi-Res Audio atau High Resolution Audio merupakan sebuah pensijilan yang diberikan oleh JAS (Japan Audio Society) kepada produk-produk audio tertentu yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Seperti yang anda telah lihat dalam contoh-contoh kotak produk, terdapat dua jenis logo, iaitu Hi-Res Audio (bagi audio mod berwayar), dan Hi-Res Audio Wireless (bagi audio mod wayarles).

Bermula dengan Hi-Res Audio, ia adalah satu logo pensijilan bagi produk audio dalam mod audio berwayar yang mampu menghasilkan bunyi melebihi 40kHz bagi proses analog, serta menyokong pemprosesan audio digital pada resolusi sekurang-kurangnya 96kHz/24-bit.

Syarat-syarat mendapat logo Hi-Res Audio. Dari Japan Audio Society.

Logo Hi-Res Audio sering diberikan kepada earphone berwayar dan headphone berwayar. Ia juga boleh diberikan kepada headphone ANC (active noise cancelling) yang mempunyai mod audio berwayar, sama ada melalui sambungan 3.5mm jack atau melalui USB Type-C.

Logo Hi-Res Audio.

Bagi Hi-Res Wireless pula, logo pengesahan ini diberikan kepada produk audio wayarles yang menyokong codec-codec Bluetooth dengan bitrate tinggi seperti LDAC, LHDC, dan AptX HD. Ini selalunya diberikan kepada earbuds wayarles dan headphone wayarles, terutama bagi yang mempunyai ANC, tidak kira yang murah atau premium.

Logo Hi-Res Wireless.

Terdapat senarai codec wayarles di bawah dengan syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk mendapatkan logo ini:

Syarat-syarat mendapat logo Hi-Res Audio Wireless. Dari Japan Audio Society.

AptX juga terdapat banyak jenis codec seperti AptX Adaptive dan AptX HD. Saudara Ariff dari Wiser telah menulis sebuah artikel berkaitan jenis-jenis codec wayarles AptX yang wujud di sini jika anda ingin ketahui lebih lanjut.

Setakat ini, pastinya anda terasa keliru dengan logo-logo yang kelihatan hampir sama, dan codec-codec wayarles yang sangat banyak. Saya juga begitu sebelum saya mula mementingkan kualiti audio.

Kini, anda telah mengetahui sedikit tentang Hi-Res Audio dan Hi-Res Wireless, maka tiba masa pula untuk menjawab soalan ini: “Pentingkah ia?”

Adakah Hi-Res Audio Itu Penting?

Jawapan ringkas saya: Tidak.

Pada pendapat saya, Hi-Res Audio bukanlah sesuatu yang perlu diberikan pertimbangan yang mendalam, dan ini sebab-sebabnya.

Sebab pertama: Majoriti menggunakan telefon iPhone.

Pastinya kebanyakan para pembaca sedang memakai telefon iPhone, bukan?

Jika anda tidak tahu, telefon iPhone tiada sokongan Hi-Res Wireless atau codec Bluetooth dengan bitrate tinggi seperti LDAC dan LHDC, dan hanya menyokong AAC yang mempunyai bitrate sekitar 220-320kbps. Ini dianggap lossy iaitu kualiti audio yang telah dimampatkan (compressed).

Kiranya ia tidak sebaik LDAC yang boleh mencapai setinggi 990kbps. Namun begitu, percayalah bahawa AAC sudah cukup memadai dan codec ini cekap dalam menyampaikan kualiti audio yang cukup sedap tanpa banyak mengorbankan kejelasan bunyi instrumen dan vokal. Maka, ketiadaan sokongan LDAC atau LHDC pada iPhone bukanlah satu kekurangan yang besar bagi majoriti pengguna yang bukanlah terlalu kritikal terhadap kualiti bunyi.

Sebagai seorang pengguna iPhone juga, saya hanya menggunakan codec AAC dengan earbuds OnePlus Buds 4, walaupun ia mempunyai codec Bluetooth LHDC. Kualiti bunyi masih lagi mantap, tanpa perbezaan ketara apabila earbuds tersebut disambungkan ke peranti Android yang menyokong codec LHDC ini.

Jika anda ingin merasai Hi-Res Audio pada iPhone, hanya Hi-Res Audio (mod berwayar) sahaja yang disokong, tetapi anda perlu membeli adapter seperti ini dan menggunakan earphone berwayar, memandangkan kebanyakan telefon kini tidak mempunyai sambungan 3.5mm audio:

Moondrop Chu 2 dengan adapter JCALLY JM6 Pro.

Bagi yang menggunakan telefon Android, pastinya anda berpeluang untuk merasai Hi-Res Wireless, tetapi ada lagi satu sebab mengapa ia masih lagi tidak penting.

Sebab kedua: Ketidakupayaan untuk membezakan antara lossy dengan lossless.

Seperti yang telah dijelaskan, lossy adalah audio yang telah dimampatkan. Manakala, lossless pula dikatakan mengekalkan lebih banyak data rakaman lagu yang asal. Contoh lossless adalah audio CD dengan bitrate sehingga 1411kbps.

Benar bahawa ada wujud codec Bluetooth yang lebih berkualiti berbanding AAC, seperti LHDC dan LDAC yang mampu memberikan bitrate dan resolusi lebih tinggi, dan kebanyakan peranti Android menyokong codec-codec ini.

Tetapi, berkemungkinan ramai pengguna tidak akan dapat mengesan perbezaan ketara apabila menukar daripada codec AAC kepada LDAC.

Seperti yang telah saya katakan, saya menggunakan OnePlus Buds 4 dengan codec Bluetooth AAC. Apabila saya cuba menyambungnya ke Xiaomi Pad 7 yang menyokong codec Bluetooth LHDC, saya tidak dapat membezakan kualiti bunyi antara kedua-dua codec ini.

Disebabkan rasa ingin tahu, saya cuba menggali Google sehingga terjumpa ABX Sound Test. Ia bertujuan untuk meneka antara fail muzik AAC (lossy) dan FLAC (lossless), tanpa mengetahui mana satu failnya.

Ujian antara fail audio lossy dengan lossless.

Hasilnya, saya tidak dapat membezakan antara fail lossy dengan lossless walaupun telah menggunakan fon kepala berwayar terbaik yang saya miliki semasa menjalankan ujian ini.

Fon kepala OneOdio Monitor 80 dengan logo Hi-Res Audio.

Anda boleh mencuba di SINI.

Disyorkan untuk membuat ujian ini menggunakan earphone atau headphone berwayar terbaik yang anda ada dalam simpanan. Berkemungkinan anda juga akan rasa sukar untuk membezakan antara dua fail yang berbeza ini.

Malah, bagi majoriti pengguna, pastinya anda tidak berapa pentingkan sokongan codec Bluetooth berresolusi tinggi atau Hi-Res Audio bagi sambungan berwayar pada peranti audio anda.

Sebaliknya, anda lebih mengutamakan tuning yang dihasilkan, bukan?

Sebab ketiga: Walaupun produk audio ada logo-logo Hi-Res Audio, belum tentu kualiti audionya baik. Tuning lebih penting.

Masalahnya, pensijilan Hi-Res Audio tidak mengambil kira sama ada tuning atau penalaan bunyi sesebuah produk itu sedap atau tidak. Ia hanya mengukur keupayaan teknikal sahaja. Sebab itulah, dua produk yang mempunyai logo Hi-Res Wireless boleh menghasilkan dua pengalaman mendengar yang berbeza.

Contohnya, EarFun Wave Pro dipasarkan dengan Hi-Res Wireless dan Hi-Res Audio. Tetapi, kualiti bunyi tidak konsisten kerana hanya mod wayarles sahaja yang puas didengari dan kedengaran lebih jelas berbanding mod berwayar yang sangat kelam dan tidak jelas bunyinya.

Logo-logo Hi-Res Audio pada kotak EarFun Wave Pro.

Satu lagi contoh berkenaan tuning adalah EarFun Tune Pro. Jika anda ingat gambar yang telah saya tunjukkan di awal artikel, headphone ini tidak menyokong Hi-Res Wireless atau codec Bluetooth seperti LDAC.

Tetapi, setelah dibandingkan dengan headphone yang lebih mahal seperti Sony WH-1000XM5 (menyokong codec Bluetooth LDAC), saya mengaku bahawa EarFun Tune Pro menghasilkan bunyi wayarles yang lebih berkualiti disebabkan tuning yang tidak terlalu bassy dengan vokal dan instrumen yang lebih menyerlah berbanding headphone Sony yang mengambil pendekatan bunyi bassy heavy yang mesra pengguna mainstream. Apa yang mengejutkan adalah EarFun Tune Pro hanya berharga bawah RM200…

Benar bahawa headphone seperti Sony WH-1000XM5 itu ada sokongan aplikasi di telefon yang membolehkan anda menukar tuning mengikut cita rasa anda, tetapi lebih baik jika Sony memberi tuning yang lebih baik dari awal kita mula menggunakan headphone tersebut. Lebih-lebih lagi pada harga yang ditawarkan untuk headphone tersebut…

Ciri Equalizer bagi Sony WH1000XM5 dalam aplikasi Sound Connect.

Jika anda perasan juga, earbuds daripada Apple seperti AirPods Pro 2 tiada pengesahan Hi-Res Wireless, tetapi ramai yang mengakui bahawa ia adalah antara earbuds ANC dengan kualiti audio yang terbaik walaupun hanya menyokong codec Bluetooth AAC.

Ini membuktikan bahawa tuning adalah segalanya berbanding pengiktirafan Hi-Res Audio yang diberikan.

Jadi, ini membawa kepada sebab terakhir.

Sebab keempat: Hi-Res Audio hanyalah taktik pemasaran untuk mengelirukan pembeli.

Bagi saya, Hi-Res Audio selalunya digunakan sebagai taktik pemasaran untuk menarik pembeli yang tidak berapa tahu mengenai audio.

Contohnya, apabila anda membeli sebuah headphone wayarles dengan logo Hi-Res Audio sahaja, pastinya anda berfikiran bahawa anda akan mendapatkan kualiti audio terbaik tidak kira dalam mod wayarles atau mod berwayar, bukan?

Kotak JBL LIVE 770NC di kedai Machines.

Realitinya, anda hanya akan mendapat kualiti audio terbaik apabila dalam mod berwayar.

EarFun Tune Pro hanya menyokong Hi-Res Audio (mod berwayar) apabila disambungkan wayar USB Type-C.

Perkara yang membuatkan saya tertanya disini adalah proses pensijilan Hi-Res Audio. Menurut Japanese Audio Society (JAS), pengeluar produk audio tidak perlu menghantar sampel produk fizikal mereka untuk diuji. Sebaliknya, hanya dokumen-dokumen berkaitan spesifikasi teknikal dan data uji kaji dalaman (yang dibuat oleh pengeluar itu sendiri) sahaja yang perlu dihantar, dan boleh membuat pembayaran untuk menggunakan logo Hi-Res Audio pada produk mereka.

Jadi, pada pandangan saya, “Hi-Res Audio ≠ Kualiti bunyi yang baik”. Tuning masih lebih penting.

Satu contoh berkaitan ini adalah UGREEN HiTune Max5. Headphone ANC ini mempunyai pengiktirafan Hi-Res Audio dan Hi-Res Wireless. Saya telah menonton beberapa video ulasan daripada para YouTuber dari Russia dan disebabkan termakan racun kata-kata mereka, saya cuba membeli headphone ini. Dukacita dimaklumkan, ia tidak seperti yang disangka kerana kualiti bunyinya amat teruk sehingga saya terpaksa memulangkan semula produk tersebut.

UGREEN HiTune Max5.

Ini bermaksud, pensijilan Hi-Res Audio lebih fokus kepada pematuhan spesifikasi teknikal berbanding pengalaman penggunaan dunia sebenar.

Kesimpulan

Niat saya bukanlah untuk tidak mengendahkan kewujudan Hi-Res Audio, cuma saya ingin memberikan peringatan agar berjaga-jaga dan tidak mudah percaya iklan-iklan di media sosial yang memasarkan produk audio dengan logo-logo ini.

Hi-Res Audio, terutama Hi-Res Wireless masih lagi boleh dipertimbangkan bagi pengguna telefon Android jika anda mahukan kualiti audio wayarles yang lebih baik berbanding codec Bluetooth AAC. Tetapi, seperti yang telah saya nyatakan, AAC juga cukup baik dari segi resolusi bunyi, dan tuning lebih penting. Jadi, usah risau, para pengguna iPhone.

Satu lagi perkara yang perlu diambil kira adalah cita rasa. Tidak kira jika sesebuah headphone itu ada Hi-Res Audio atau tidak, kebanyakan pendengar juga ada cita rasa yang berbeza. Majoriti inginkan bass yang banyak, dan ada juga sesetengah yang inginkan kualiti bunyi yang lebih jelas dan neutral, dan ada yang inginkan bunyi yang balanced.

Jadi, bagi saya, lebih baik jenama-jenama audio memasarkan headphone mereka sebagai bassy, neutral, atau balanced, berbanding dakwaan seperti, “Headphone kami ada Hi-Res Audio” tanpa penjelasan lebih lanjut.

Tidak kira jika syarikat memberikan pilihan untuk ubah tuning asal dengan EQ, ia amat penting untuk memberikan tuning paling baik out of the box, tanpa mengira ada logo Hi-Res Audio atau tidak.

Jadi, jika anda nampak mana-mana iklan di media sosial yang mengiklankan sebuah produk audio dengan logo Hi-Res Audio, berjaga-jagalah dan lakukan kajian yang mendalam dahulu sebelum membuat keputusan untuk membeli.

Jika anda masih mahu mencari produk audio Hi-Res Audio yang boleh dipercayai, anda boleh mula dengan EarFun, Edifier, Baseus (produk yang baharu sahaja), dan soundcore kerana mereka konsisten dalam memberikan kualiti audio yang baik.

Jenama flagship seperti Sennheiser juga disyorkan kerana dikenali dalam komuniti audiophile sebagai salah satu jenama terkemuka dalam menyampaikan kualiti audio yang baik.

Nota tambahan: Logo Hi-Res Audio juga ada pada kotak telefon-telefon bajet dan midrange. Itu akan dibincangkan pada artikel akan datang…

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress