Sejak kebelakangan ini, teknologi retro semakin tular di media sosial. Jadi, mungkin ada antara anda yang baru sahaja ingin mula meneroka dunia headphone retro, bukan?
Inilah tiga headphone jenis retro terbaik yang saya dapat kumpulkan:
Moondrop Old Fashioned
Bermula dengan headphone retro paling muda dan paling murah, Moondrop Old Fashioned dikeluarkan pada akhir tahun 2025. Harganya bermula dari RM120, dan boleh turun serendah RM90 di Shopee.
Ia adalah headphone jenis on-ear (headphone tekap pada telinga), jadi ia pastinya tidak mempunyai banyak bass. Tetapi, bagi saya, itu bukan satu masalah kerana ia masih lagi mampu memberikan profil bunyi yang neutral dari pemacu dinamik 40mm, sambil nampak retro dan berkelas.

Pada tanda harga ini, wayarnya boleh dicabut, headband juga boleh dicabut. Oleh sebab itu, ia sangat mudah untuk diubah suai. Anda juga boleh membeli kabel USB-C untuk disambungkan ke headphone ini jika anda ingin sambungkannya ke telefon anda.

Bagi saya, headphone ini adalah satu headphone permulaan yang baik secara umum, dan bukan hanya untuk bergaya sahaja kerana kualiti bunyinya yang cukup padu pada harga yang murah. Ia juga praktikal kerana wayarnya boleh dicabut.
Harga Moondrop Old Fashioned di Malaysia
Koss Porta Pro

Koss Porta Pro dikira paling mahal dalam senarai ini, bermula pada RM239. Ia telah wujud sejak tahun 1984, dan masih lagi mempunyai peminat setia sehingga kini kerana reka bentuk yang timeless, dan profil bunyi yang bassy dan dark.
Headphone ini bukan untuk mereka yang inginkan profil bunyi yang neutral. Ia dicipta untuk memuaskan pendengar mainstream, tidak mengira dakwaan Koss bahawa headphone ini “…direka untuk mereka yang mempunyai telinga yang tajam untuk muzik.”

Dari segi reka bentuk, apabila dibandingkan dengan Moondrop Old Fashioned, headphone ini mempunyai wayar nipis yang tidak boleh dicabut, jadi anda perlu berhati-hati ketika menggunakannya.
Katakan anda mahukan wayar yang boleh dicabut, dan masih mahukan reka bentuk headphone seperti ini, anda boleh mengikuti komuniti r/kossmods di Reddit untuk mendapatkan idea di mana ingin bermula mengubah suai.
Apa yang headphone ini mampu buat yang headphone Moondrop tidak mampu adalah ia boleh dilipat. Jadi, ia lebih mudah disimpan dan dibawa ke mana-mana.

Sama seperti headphone Moondrop, headband boleh dicabut dan ditukar, jadi boleh juga ubah suai untuk meletakkan klip atau headband lain.
Pada pendapat saya, headphone ini sesuai bagi mereka yang inginkan reka bentuk yang menonjol dan retro, dan lebih mementingkan bass. Para pendengar mainstream pasti akan menikmati headphone ini.
Harga Koss Porta Pro di Malaysia
Koss KSC75

Koss KSC75 bukanlah seperti yang anda sangka. Jika anda lihat reka bentuknya, ia nampak lain, bukan?
Ia adalah sejenis headphone on-ear clip style. Ini bermakna, ia tidak mempunyai headband di kepala, dan mencangkuk pada cuping telinga. Seorang dari komuniti audiophile, iaitu Crinacle menganggapnya sebagai ‘not-headphone’.
Headphone ini juga adalah headphone legenda yang telah wujud sejak tahun 2004. Harganya adalah sekitar RM135-159.

Sebagai salah seorang pengguna headphone ini, saya boleh katakan bahawa headphone ini menang dari segi penghasilan bunyi kerana ia mempunyai profil bunyi neutral dengan sedikit mid-bass. Saya akui ia adalah yang terbaik dalam senarai ini.

Sama seperti headphone Koss Porta Pro, wayarnya nipis dan tidak boleh dicabut. Jadi, anda juga perlu berhati-hati ketika menggunakannya dan sentiasa beringat untuk tidak tertarik wayarnya dengan kuat.
Klip headphone ini pula boleh dicabut dan diubah suai. Saya telah pun menukar klip kepada headband Koss Porta Pro untuk mendapatkan keselesaan yang lebih baik apabila menggunakannya untuk tempoh yang lebih lama.
Jika kita ambil kira reka bentuk yang asal, ia sememangnya kompak dan mudah dibawa dalam beg. Cuma, dengan kualiti binaan yang terasa agak murah, anda memang perlu berhati-hati.
Jadi, amat digalakkan untuk mengikuti komuniti r/kossmods di Reddit juga untuk mendapatkan tips untuk mengubah suai wayar agar boleh dicabut.
Walaupun ia tidak sempurna, ia masih lagi antara headphone retro yang terbaik, tidak kira berapa dekad ia telah wujud.
Itulah tiga headphone retro terbaik setakat ini. Jadi, pilihlah headphone retro yang betul, dan elakkan membeli headphone yang nampak retro, tetapi kualiti bunyi ke laut.




