14 Tahun Dulu, Roket Pertama Elon Musk Bawa Satelit Malaysia Ke Orbit

Mungkin ramai tak tahu bahawa satelit Malaysia pernah dilancarkan oleh roket milik Elon Musk. Malah ia merupakan roket pertama yang dibangunakn SpaceX.

Kisah ini diceritakan kembali oleh Dr Ahmad Sabirin Arshad beberapa hari lalu menerusi akaun Facebook miliknya.

Mengenang kembali detik itu, Dr Ahmad Sabirin Arshad menyatakan bahawa, Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB) adalah pelanggan komersial pertama SpaceX milik Elon Musk.

ATSB adalah milik penuh Syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan yang merupakan perintis dan peneraju dalam reka bentuk dan pembuatan satelit di Malaysia.

Menceritakannya dengan lebih lanjut, beliau berkata perbincangan pihak ATSB dengan Elon Musk bermula menerusi panggilan telefon pada Hari Krismas 2003.

Beliau yang merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ATSB pada ketika itu seterusnya telah mengadakan lawatan ke atas SpaceX yang masih hanya sebuah syarikat kecil pada masa itu.

Menerusi lawatan itu, beliau berkata bahawa Elon Musk memberi jaminan komitmennya untuk membantu melancarkan RazakSAT ke Orbit Hampir Khatulistiwa (Near Equatorial Orbit atau singkatannya NEqo).

Kapsyen: Foto yang dikongsikan Dr Ahmad Sabirin Arshad ketika beliau bersama Elon Musk semasa Perjanjian antara ATSB dan SpaceX, El Segundo, Los Angeles, CA. Kredit gambar: FB Ahmad Sabirin Arshad.


Akhirnya pada 14 Julai 2009, RazakSAT, satelit remote sensing kedua Malaysia, berjaya dilancarkan ke angkasa pada jam 11.35 pagi waktu Malaysia dari Pulau Omelek, Kwajalein Atoll.

Beliau menambah, walaupun terdapat beberapa kegagalan sebelum pelancaran roket itu yang merupakan roket pertama dibangunkan oleh SpaceX, mereka tidak meninggalkan SpaceX dengan tetap mahukan roket syarikat itu membawa satelit RazakSAT masuk ke dalam ruang Orbit Hampir Khatulistiwa (NEqo).

Kapsyen: ATSB juga telah membangunkan perkakasan angkasa yang dipanggil Small Payload Adapter and Separation System untuk digunakan di atas roket Falcon 1. RazakSAT di atas Roket Falcon 1 sebelum dilancarkan. Kredit gambar: FB Ahmad Sabirin Arshad


Kejayaan pelancaran itu sekaligus menjadikan RazakSAT sebagai satelit pertama dan satu-satunya yang beroperasi yang pernah dilancarkan ke orbit oleh roket Falcon 1.

RazakSAT ialah Satelit Penderiaan Jauh (Remote Sensing) milik Malaysia yang membawa kamera beresolusi tinggi. Ia telah direka dan dibina oleh ATSB. Dr Ahmad Sabirin Arshad menegaskan, pelancaran RazakSAT merupakan pencapaian penting untuk SpaceX dan untuk Malaysia.

Menerusi pelancaran itu juga, ia membantu membuka jalan kepada pembangunan Falcon 9 yang kini merupakan roket pelancar paling berjaya di dunia.

https://www.youtube.com/watch?v=yTaIDooc8Og

Kerjasama itu secara tidak langsung menjadikan Malaysia telah membantu Elon Musk mencapai kejayaan di SpaceX hari ini sebagai pelancaran pertama satelit yang berjaya.

Beliau menyatakan bahawa, mungkin sudah tiba masanya untuk Malaysia kembali mewujudkan semula kerjasama dalam pelbagai bidang teknologi seperti satelit Starlink dan Tesla dan mengembangkan ekonomi kita ke peringkat seterusnya.

Selepas menamatkan tugas beliau di ATSB pada tahun 2019, Dr Ahmad Sabirin Arshad terus menuai bakti dengan memgang jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, SIRIM Berhad dari tahun 2021 sehingga sekarang.

{suggest}

Sumber: FB Ahmad Sabirin Arshad