Dalam menghadapi masa depan yang semakin panas, pakar dari UNSW menegaskan bahawa pendingin hawa (AC)bukanlah penyelesaian jangka panjang.
Walaupun ia menyelamatkan nyawa ketika gelombang haba, penggunaan meluas AC meningkatkan pelepasan karbon, membebankan grid elektrik dan mempercepatkan kesan pulau haba bandar.
Sebaliknya, Profesor Mat Santamouris menekankan bahawa teknologi penyejukan pasif perlu menjadi barisan pertahanan utama.
Penyejukan pasif dicapai dengan menggunakan teknik untuk kawalan haba dan suria, pengurangan haba, dan penyaluran haba.
Kaedah seperti teduhan, bahan reflektif, pengudaraan pintar dan salutan penyejuk mampu mengurangkan kebergantungan kepada AC sehingga 80% di iklim panas.
“Strategi penyejukan terbaik adalah dengan menghentikan haba yang tidak diingini daripada memasuki bangunan sejak awal lagi. Penyepaduan teduhan, bahan reflektif, ventilasi yang lebih bijak dan bahan penyejuk baru boleh mengurangkan suhu dalaman dengan ketara sebelum penghawa dingin pun perlu dihidupkan,” kata Prof. Santamouris.
Permintaan global untuk penyejukan semakin melonjak – hampir 10% tenaga elektrik dunia digunakan untuk AC, dengan 10 unit baharu terjual setiap saat.
Menjelang 2050, jumlah unit kediaman dijangka mencecah 5.6 bilion, namun masih ramai yang tidak mampu mendapatkan akses kepada penyejukan asas.
Justeru, penyejukan pasif adalah penyelesaian jangka panjang terbaik.
Ia bukan sahaja menjimatkan tenaga, malah melindungi komuniti ketika gangguan bekalan elektrik. Ia juga mengurangkan risiko kesihatan akibat haba melampau.
Santamouris menyeru dasar bangunan yang lebih ketat, reka bentuk responsif iklim dan akses meluas kepada teknologi penyejukan mampan.
“Bangunan yang kita bina hari ini akan masih berdiri pada tahun 2050 dan seterusnya. Ia perlu direka untuk iklim yang akan mereka hadapi, bukan iklim yang kita alami pada masa lalu.” Profesor Mat Santamouris AM
Jadi, dengan menggabungkan penyejukan pasif dengan AC cekap tenaga, ia akan dapat membina bandar yang lestari dan bersedia menghadapi iklim pada masa depan.
Namun, pada masa yang sama, beliau menekankan bahawa penyejukkan sepatutnya menjadi hak semua orang, bukan hanya untuk golongan kaya yang mampu membayar bil elektrik yang tinggi.
{suggest}
