ZTE Bakal Lancar Axon 20 5G, Telefon Pintar Pertama Dengan Teknologi Kamera Bawah Paparan

ZTE hari ini telah mengesahkan bakal melancarkan Axon 20 5G pada 1 September 2020 di China. Ia dijangka akan diperkenalkan sebagai telefon pintar pertama di dunia dengan teknologi kamera bawah paparan.

Presiden ZTE, Ni Fei pada minggu lalu telah mengumumkan ZTE bakal hadir dengan teknologi tersebut. Kini, beliau telah mendedahkan peranti itu adalah ZTE A20 5G.

Peranti tersebut juga telah menerima pensijilan SRRC dan TENAA dengan nombor model peranti ZTE A2121.



Ia dijangka akan dimuatkan dengan paparan 6.92 inci OLED FHD+. Terdapat spekulasi yang menyatakan tiada takuk mahupun paparan berlubang pada skrin hadapan. Sebaliknya, peranti ini akan dilengkapi kamera hadapan 32MP yang diletakkan di bawah paparan.

Peranti ini kemungkinan ditawarkan dengan RAM 6GB hingga 12GB serta storan dalaman sehingga 256GB. Terdapat tetapan empat kamera pada bahagian belakang dengan 64MP+8MP+2MP+2MP.

Untuk maklumat rasmi mengenai Axon 20 5G, ZTE dijangka akan mendedahkan lebih banyak perkara mengenainya menjelang pelancaran 1 September ini.

Sumber: GizmoChina