Xiaomi Mi 10 Dijual Bermula RM 2799 Di Malaysia, Mi 10 Pro Pada RM 3899

Xiaomi Malaysia hari ini secara rasminya telah membawa masuk siri Xiaomi Mi 10 iaitu Mi 10 dan Mi 10 Pro. Peranti ini telah pun dilancarkan di negara China awal Februari dan untuk pasaran global pula hujung Mac lalu.

Di Malaysia, Xiaomi Mi 10 dijual dalam 2 konfigurasi memori 8GB/128GB (RM2,799) dan 8GB/256GB (RM 2,999). Untuk Mi 10, 2 pilihan warna yang boleh dipilih iaitu Twilight Grey dan Coral Green.



Manakala Xiaomi Mi 10 Pro pula hanya terdapat dalam satu konfigurasi memori iaitu 8GB/256GB pada harga RM 3,899. Untuk warna pula terdapat 2 pilihan yang boleh dipilih sama ada Solstice Grey atau Alpine White.



Dari segi perbezaan spesifikasi antara Mi 10 dan Mi 10 Pro, model Pro menawarkan perkakas kamera lebih tinggi dengan 108MP utama (lensa 8P), 20MP sudut lebar, 12MP telefoto, dan 8MP telefoto 10x zum hibrid. Kamera Mi 10 pula masih juga mempunyai sensor utama yang sama 108MP namun lensa lain sedikit berbeza.

Ia mempunyai 13MP sudut lebar, 2MP depth, dan 2MP makro. Bateri juga berbeza di mana Mi 10 Pro berkapasiti 4,500mAh dan Mi 10 pula 4,780mAh . Mi 10 Pro juga mempunyai teknologi pengecasan yang lebih pantas pada 50W berwayar.

Lain-lain spesifikasi adalah sama dengan skrin bersaiz 6.67 inci AMOLED Full HD 90Hz, Snapdragon 865, swafoto 20MP dan RAM LPDDR5.



Pihak Xiaomi Malaysia akan mengadakan promosi pra-tempahan untuk kedua-dua model ini di Lazada. Bermula hari ini (22 April) sehingga 30 April , setiap pembelian model Mi 10 akan menerima percuma Mi Band 4. Untuk Mi 10 Pro pula, pembeli akan menerima fon telinga Mi True Wireless Earphones secara percuma.