Pada acara ulangtahun ke-10 yang berlangsung di China, Xiaomi telah memperkenalkan Mi 10 Ultra. Bagaimanapun, syarikat itu menyatakan tiada perancangan untuk memasarkannya dalam pasaran global.
Menariknya, Mi 10 Ultra kini merupakan peranti pintar dengan kamera terbaik dalam carta DxOMark. Ia sekaligus berjaya menumbangkan takhta Huawei P40 Pro. Mungkin ada yang tertanya, apakah “resipi” yang dihasilkan pada Mi 10 Ultra sehingga berjaya memintas P40 Pro? Xiaomi kini menjelaskan teknologi yang digunakan pada kamera Mi 10 Ultra.
Menurut Xiaomi, Mi 10 Ultra adalah hasil kajian jurutera dalam beberapa penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara global termasuk di Beijing, Shanghai, Shenzhen, Nanjing, Tokyo, Santiago, Bangalore, Paris dan Tampere.
Kamera utama dimuatkan dengan sensor 48MP 1/1.32″ yang boleh melakukan pemprosesan on-chip single-frame HDR. Secara asasnya, piksel disatukan kepada tiga kategori iaitu short, medium dan long exposure. Kemudian, ia digabungkan menjadi isyarat HDR ketika sensor membaca setiap baris gambar.
Dengan pemproses on-sensor, Mi 10 Ultra adalah kamera pertama dari Xiaomi yang boleh merakam video HDR10. Ia juga dilengkapi rekaan unik lensa 8P, iaitu lensa dengan lapan elemen dimana ia dapat mengurangkan kecacatan dalam rakaman yang dihasilkan. Setiap elemen yang ditambah pada lensa menjadikannya lebih sukar (dan mahal) untuk dihasilkan.
Penghasilan kamera telefoto juga adalah cabaran dalam pembangunan Mi 10 Ultra. Ia dimuatkan dengan sensor IMX586 dan resolusi 48MP 1/2.32. Dengan sensor yang terlalu besar, ia menjadikan modul kamera terlalu tebal untuk dimuatkan pada bingkai telefon.
Oleh itu, Xiaomi menggunakan lensa D-cut bagi mengecilkannya. Lensa ini menjadikan penstabilan imej optikal (OIS) lebih sukar, namun, pengulangan proses dilakukan sehingga ia berjaya.
Bagi lensa sudut lebar, ia hadir dengan sudut pandang 128°. Lensa 7P sekali lagi digunakan bagi meminimakan distortion, terutamanya pada sekitar penjuru imej. Pengurangan distortion pada lensa juga membantu untuk meningkatkan resolusi tanpa memerlukan sebarang perisian.
Terdahulu, berikutan penawaran menarik pada Mi 10 Ultra dan hanya ditawarkan di China, peminat peranti itu mula mendesak Xiaomi untuk memasarkannya di negara yang lain. Petisyen juga telah dibuat sebagai tanda gesaan terhadap Xiaomi supaya membawa masuk Xiaomi Mi 10 Ultra secara rasmi untuk pasaran Eropah /Jerman.
Sumber: GSMArena