Kamera telefon pintar semakin canggih saban tahun, namun masih terdapat beberapa masalah asas yang sering dihadapi pengguna. Antaranya termasuk had HDR yang terhad, ketepatan warna terutama pada zoom telefoto, serta zoom yang tidak konsisten akibat penggunaan teknik pemotongan imej (cropping).
Melalui Xiaomi 17 Ultra, Xiaomi cuba menangani ketiga-tiga isu ini secara terus melalui pendekatan perkakasan kamera.
Sebahagian penjelasan mengenai teknologi kamera ini turut dikongsi oleh wakil Xiaomi dalam sesi temu bual eksklusif bersama media semasa lawatan kami ke ibu pejabat Xiaomi di Beijing.
Teknologi LOFIC Untuk HDR Lebih Baik

Salah satu teknologi utama yang diperkenalkan ialah LOFIC HDR pada sensor utama. Sebelum ini, Xiaomi menggunakan pendekatan Multi-Frame HDR dan kemudian Dual Conversion Gain (DCG) untuk meningkatkan julat dinamik imej.
Namun dengan LOFIC, sensor kamera mampu menyimpan lebih banyak maklumat cahaya bagi mengelakkan masalah highlight “blown out” yang sering berlaku ketika merakam situasi kontras tinggi seperti papan tanda neon, cahaya matahari atau lampu terang pada waktu malam.
Secara ringkasnya, setiap piksel pada sensor mempunyai had penyimpanan cahaya. Apabila had ini dicapai, bahagian terang akan hilang butiran. LOFIC berfungsi dengan menyediakan ruang simpanan tambahan untuk cahaya tersebut, sekali gus membantu mengekalkan butiran pada kawasan terang.

Teknologi ini digunakan pada sensor utama 50MP bersaiz 1 inci dengan panjang fokus 23mm. Xiaomi 17 Ultra turut dilengkapi kamera telefoto 200MP dengan panjang fokus sekitar 75mm hingga 100mm, serta kamera ultra lebar 14mm 50MP. Kamera hadapan pula menggunakan sensor 50MP dengan panjang fokus 21mm.
Walaupun kesannya mungkin tidak terlalu ketara dalam penggunaan harian, LOFIC amat berguna dalam situasi ekstrem seperti backlit kuat, matahari terbenam, rakaman malam dengan lampu LED terang atau adegan kontras tinggi.
Lensa APO Untuk Kurangkan Chromatic Aberration
Selain itu, Xiaomi turut memperkenalkan lensa apochromatic (APO) pada modul telefoto.
Teknologi ini direka untuk mengurangkan fenomena chromatic aberration, iaitu kesan “color fringing” seperti garis ungu, hijau atau biru pada tepi objek yang mempunyai kontras tinggi.

Masalah ini berlaku apabila cahaya dengan panjang gelombang berbeza seperti merah, hijau dan biru — difokuskan pada titik yang berbeza oleh lensa. Lensa APO menggunakan elemen optik khas bagi memastikan beberapa gelombang cahaya tersebut difokuskan pada titik yang sama.
Hasilnya, gambar yang dihasilkan mempunyai warna lebih tepat, kontras lebih bersih dan ketajaman lebih konsisten, terutama ketika menggunakan zoom telefoto.
Zoom Optikal Lebih Konsisten
Satu lagi peningkatan ialah pada sistem telefoto yang mampu melakukan zoom optikal dari 75mm hingga 100mm tanpa bergantung kepada teknik pemotongan imej.

Pendekatan ini membolehkan gambar yang dihasilkan mengekalkan butiran yang lebih baik serta kedalaman perspektif yang lebih natural berbanding zoom digital atau cropping.
Walaupun jarak zoom tersebut tidak terlalu jauh, ia menunjukkan usaha Xiaomi untuk memperkenalkan zoom optikal yang lebih fleksibel dalam telefon pintar tanpa menambah ketebalan modul kamera secara berlebihan.
Secara keseluruhan, Xiaomi 17 Ultra cuba memperbaiki tiga isu utama dalam fotografi telefon pintar melalui inovasi pada perkakasan kamera, khususnya dari segi HDR, ketepatan warna telefoto dan prestasi zoom.
{suggest}
